Budaya

Mengapa mereka masih percaya kepada yang itu Oleh Aya Suffiya

Sehingga hari ini, si Gadis masih mencari jawapan kenapa masih ramai orang kampung termasuk anak muda di sana begitu teruja dengan UMNO. Kitab hariannya mereka Utusan, walau pun terlalu pdata dengan fitnah dan pembohongan dari lidah rasmi UMNO tersebut yang kononnya mahu menjaga Melayu dan Islam.

Paling menjengkelkan si Gadis, apabila ramai dari teman-teman sebayanya masih menerima dan mempercayai fitnah yang menyamar sebagai berita daripada media yang dikuasai dan dimonopoli penuh oleh UMNO. Mereka seolah berbangga menyatakan ‘ya’ kepada setiap kenyataan yang diterima daripada sumber media cetak mahu pun media eletronik yang berpihak kepada UMNO.

Si Gadis mempunyai ramai teman dari pelbagai peringkat umur, tapi itu tidak langsung boleh membuatkan Si Gadis merasakan dirinya selesa untuk berada di pihak oposisi dan bercerita bersama mereka untuk membebaskan Malaysia dari terus diperintah golongan yang sedap-sedap makan duit rakyat.

Walau pun teman-teman si Gadis celik IT dan berkemampuan menggunakan peralatan moden, mereka kurang celik dengan maklumat yang tepat, mereka lebih rela membiarkan emosi perkauman menguasai diri, akhirnya mereka bersetuju sahaja dengan tuduhan media UMNO terhadap parti oposisi.

Ada juga kalangan temannya yang menjadi pengundi atas pagar yang masih membuat pilihan untuk menjadi pemerhati dan tidak membuat sebarang keputusan sehingga hari pembuangan undi. Tidak kurang juga menolak politik secara total. Apa pun, jika berdiam diri, ia bermakna golongan penindas akan kekal berkuasa.

Kesan propaganda

Si Gadis teringat apa yang diajar kepadanya di sekolah, tentang perdana menteri pertama yang menjadi bapa kemerdekaan. Kemudian, yang kedua digelar bapa pembangunan dan ketiga pula  bapa perpaduan. Setelah tamatnya era kegemilangan tokoh-tokoh yang pernah memperjuangkan kuasa serta kebajikan rakyat, Malaysia diperintah oleh perdana menteri keempat, Che Det namanya yang memegang tampuk kekuasaan selama 22 tahun .

Bagi si Gadis yang membesar pada zaman media yang semakin dicengkam pemerintah, Che Det adalah seorang yang berfikiran jauh. Beliau seorang yang hebat kerana mampu memikirkan apa yang boleh  Malaysia capai pada tahun 2020.

Walau pun begitu telah berlakunya pelbagai peristiwa, antaranya apabila Che Det menggunakan kuasa untuk menyingkirkan mereka-mereka yang dirasakan boleh mengganggu gugat kedudukannya pada ketika itu. Walau pun begitu Che Det dianugerahkan gelaran bapa permodenan oleh tukang-tukang angkatnya.

Bila Che Det menyerahkan kuasanya kepada Pak Lah yang menerima gelaran sebagai bapa pembangunan modal insan. Mulanya rakyat gembira kerana Che Det sudah hilang dari dunia politik. Tapi Pak Lah tak sedar bahawa aparat negara semuanya sudah terjelma sebagai Mahathirisme.

Pak Lah terpaksa berdepan dengan media cetak seperti Utusan yang menuntutnya menjadi pemimpin untuk Melayu sahaja, yang mahu Pak Lah meneruskan kronisme, korupsi era Che Det. Maka gerombolan UMNO berani bangun mengutuk Pak Lah yang berniat mahu membawa era inklusif antara kaum dan membuka sedikit ruang kebebasan.

Malah, Che Det yang mungkin merasakan dirinya orang paling besar di negara ini mula berkempen menghentam Pak Lah. Sayang, Pak Lah kecut perut dan tak buat apa-apa yang dijanjikan kepada rakyat. Akhirnya Pak Lah, UMNO dan BN terhumban ke sisi apabila hilang lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga parlimen dalam PRU12.

Apabila tamatnya kuasa Pak Lah yang menjadi UMNO yang sudah tebal dengan Mahathirisme,
negara dipimpin oleh seorang perdana menteri yang lebih rakus dan sanggup menggunakan atau melakukan apa sahaja untuk memastikan kedudukannya tidak hilang sebelum beliau habis makan duit rakyat.

Di samping berkongsi kemewahan daripada hak rakyat bersama puak-puaknya sendiri, perdana menteri keenam ini juga tidak segan silu menjadikan Utusan sebagai kereta kebalnya yang berada di barisan paling hadapan untuk melontarkan peluru-peluru fitnah kepada pihak oposisi. Utusan yang mula rasis sejak era Pak Lah, kini sudah menjadi kitab suci untuk pelampau kaum.

Inilah senario sebenar yang jadi di Malaysia kini. Hasil pemerintahan Che Det telah meninggalkan kesan yang amat buruk kepada generasi yang membesar dengan ideologi Mahathirisme, yakni kronisme, korupsi, acuh tak acuh, lebih kurang, ikut suka aku dan lantak sajalah, tanpa peduli pada fakta, kebenaran dan hakikat.

Lawan fitnah

Si Gadis yang lahir ke dunia ini pada era UMNO Baru – UMNO asal telah dihancurkan oleh Che Det untuk membuang mereka yang berpegang kepada semangat 1946 dan digantikan dengan kroni pecacainya – amat sedih dengan apa yang sedang berlaku.

Si Gadis hairan mengapa masih ada teman-temannya menelan bulat-bulat fitnah media arus perdana. Adakah kerana mereka takut berdepan dengan kebenaran? Atau berselindung di sebalik politik perkauman? Atau sudah tak dapat nak bezakan antara yang hak dan yang batil?

Namun si Gadis yakin sudah ramai mereka yang sebaya dengannya telah mulai sedar. Dia tahu golongan umur peringkat ibu bapa dan mak cik pak ciknya sudah pun makin tahu fitnah yang hebat disebarkan, khususnya dari Utusan, TV3 dan sebagainya. Si Gadis percaya, bila sampai masa ketikanya, yang zalim akan dan pasti diadili oleh kuasa tangan rakyat yang keluar mengundi.

Ini membuatkan si Gadis terfikir sejak, apa gelaran ‘bapa’ yang sesuai untuk perdana menteri keenam ini? Suatu masa nanti, tidak perlu lagi kepada media propaganda untuk mencipta gelaran baru.

Mungkin apabila rakyat sudah menolak politik perkauman dan fitnah, perdana menteri keenam itu hanya akan dikenali sebagai anak kepada perdana menteri kedua. Tak perlu menjadi ‘bapa’ kepada apa-apa lagi kerana rakyatlah bakal menjadi anak-anak dan ibu dan bapa kepada perubahan negara. – Roketkini.com