Rencana

Jangan beriman dengan fitnah, beranikan diri menerima kebenaran Oleh Hafiz Zainuddin

Buat saudara-saudariku semua,

Tidak tersangka-sangka merentas imaginasi dan angan-angan. Satu ketika dahulu semasa bersekolah dan menuntut di universiti, satu sosok sederhana yang aku dengar melalui cakap mulut dan akhbar, yang aku tahu dan aku kenal sebagai manusia jahat, yang pernah aku benci dan persoalkan, kini semuanya berubah.

Akhirnya aku bersama perjuangannya. Berjuang atas dasar prinsip demi  Malaysia yang bermaruah dan berdaulat. Sendirian aku tersenyum. Biarpun mungkin aku dituduh pengkhianat oleh kalian, aku tetap gembira atas pilihan ini, bersama wadah dan perjuangan seorang lelaki kental, jujur dan penuh semangat.

Biarpun beliau makin berusia, sosok ini tegar dan segar semangat serta perjuangannya untuk kita dan untuk Malaysia. Dialah Lim Kit Siang, lelaki yang aku maksudkan itu, anak jati Johor yang pernah aku cerca suatu ketika dahulu.

Tidak ramai yang tahu kisahnya, kecuali bagi mereka membaca dan mengkaji. Segalanya adalah fakta sebenar dari sejarah yang tak pernah padam. Kisahnya bukan semata-mata dari persepsi dan tuduhan kerana bagi kita, siapapun boleh melakukan tuduhan tetapi tiada siapa yang boleh menolak fakta sejarah.

Fitnah mula dicipta: 13 Mei 1969

Tanggal 13 Mei 1969 adalah sejarah malang negara. Negara yang pada masa itu cuma berusia 12 tahun  sedang bergelut dengan krisis identiti, dilema dan plot dalaman untuk membunuh karier politik Tunku Abdul Rahman, bapa kemerdekaan kita, ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri. Sudah ada para pemimpin ultra-Melayu dalam UMNO yang melihat Tunku sebagai terlalu “lembut” dengan kaum bukan-Melayu pada masa itu.

Kini segalanya makin jelas; Lim Kit Siang tidak terlibat dengan tragedi berdarah tersebut, malah beliau sendiri tidak berada di Kuala Lumpur pada ketika itu!

Sewaktu mendengar pidato beliau ketika menghadiri satu majlis di Petaling Jaya baru-baru ini, Lim Kit Siang yang juga dipanggil Uncle Kit oleh anak-anak muda yang mengkaguminya perjuangannya berceloteh panjang. Ia bukan yang pertama kali dijelaskannya. Tapi biarlah, catatan ini mengulangi kebenaran dan fakta sebenar.

“Cybertrooper UMNO-BN telah menyebarkan tuduhan fitnah bahawa saya bertanggungjawab dalam mencetus rusuhan 13 Mei 1969 dimana kata mereka saya telah berada dan merayau di Kuala Lumpur selepas keputusan pilihanraya umum 1969. Mereka juga menuduh saya melemparkan komen-komen ‘anti-Melayu’ yang juga telah mencetuskan rusuhan 13 Mei,” kata beliau.

Kit Siang bukan pencetus tragedi 13 Mei

Untuk pengetahuan semua, Lim Kit Siang tidak pernah berada pun di Kuala Lumpur pada 10 Mei hingga 13 Mei 1969, fakta ini boleh disemak dengan pihak media pada masa tersebut dan dalam rekod pihak polis.

“Saya sedang bertanding kerusi parlimen Bandar Melaka pada tahun 1969 dan pada pagi 13 Mei 1969, saya telah menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu untuk memberi bantuan kepada calon-calon bebas dalam kempen pilihanraya negeri Sabah. Ini kerana pilihanraya umum 1969 di Sabah dan Sarawak  diadakan dua minggu selepas pilihanraya berlangsung di Semenanjung Malaysia,” tambah beliau

Semasa Lim Kit Siang berada di Sabah, beliau telah dinasihati agar tidak pulang ke Kuala Lumpur selepas beliau diusir keluar dari negeri di bawah bayu tersebut oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Mustapha Harun, semata-mata disebabkan oleh ucapannya yang menuntut hak demokrasi dan keadilan dalam satu rapat umum kempen pilihanraya di Kota Kinabalu.

“Pada pagi 14 Mei 1969, sekumpulan pegawai Imigresen telah datang ke hotel penginapan saya di Kota Kinabalu untuk menyerahkan arahan ‘notis pengusiran’ (eviction order) kepada saya.

“Akan tetapi saya tidak tinggalkan Kota Kinabalu sehingga 15 Mei kerana saya telah terlepas penerbangan pada 14 Mei. Oleh kerana pada masa itu darurat telah diumumkan, tidak ada penerbangan sambungan (connecting flight) dan saya terpaksa bermalam di rumah Devan Nair di Singapura untuk dua malam.”

Dalam masa tersebut, Kit Siang telah berhubung dengan pemimpin-pemimpin parti dan keluarganya melalui perkhidmatan telefon dan mereka telah menasihati beliau untuk jangan kembali kerana namanya dikatakan berada dalam ‘senarai hitam’ Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pasti akan ditahan.

“Saya telah memberitahu pemimpin-pemimpin parti bahawa saya tiada pilihan sama ada untuk kembali ke Malaysia atau tidak, kerana bagi saya, saya akan gagal menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat jika saya tidak bersama rakyat sewaktu kesusahan.”

“Adakah saya akan pulang ke Malaysia sekiranya saya telah mencetuskan rusuhan 13 Mei?”

Pada 17 Mei 1969, Lim Kit Siang telah menaiki penerbangan dari Singapura dan telah ditahan di Lapangan Terbang Subang, dan dengan itu mulalah siri penahanannya di bawah ISA.

Bahkan jelas Kit Siang lagi, dalam kedua penahanan pertama ISA pada 1969 dan penahanan kedua pada 1987, beliau tidak pernah pun disoal mengenai di mana beliau berada pada 10, 11, 12 dan 13 Mei 1969 semasa sesi soal siasat yang serius oleh Cawangan Khas. Ini kerana kerana pihak polis sendiri tahu bahawa beliau tidak pernah berada di Kuala Lumpur pun pada waktu tersebut.

Tetapi apa yang lebih mengaibkan maruah pemerintah, ‘cybertrooper’ UMNO-BN juga sewenang-wenang membuat tuduhan melulu bahawa Lim Guan Eng juga bertanggungjawab mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969.

“Hakikatnya, Guan Eng hanya berumur lapan tahun pada Mei 1969! Tuduhan ini semua menunjukkan betapa tidak berprinsip dan jijiknya taktik politik yang digunakan UMNO-BN menjelang pilihanraya umum akan datang.

Mana mungkin seorang kanak-kanak berumur 8 tahun mencetuskan huru-hara tersebut. Apakah kerana Guan Eng kini adalah Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, maka namanya diheret dalam kancah fitnah 13 Mei walau pun ketika itu beliau masih bersekolah rendah?

Fitnah 13 Mei yang tak berkesudahan

Fitnah 13 Mei tidak terhenti setakat kenyataan liar para pemimpin UMNO dan pecacai siber mereka. Merujuk kepada sebuah filem mengenai 13 Mei yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi,  Lim Kit Siang melontarkan persoalan, adakah ini salah satu daripada kempen fitnah untuk memberi gambaran buruk terhadap DAP dan Pakatan Rakyat?

Filem itu dikatakan meletakkan segala kesalahan di atas bahu DAP. Mungkin ia juga salah satu kempen untuk membantu UMNO-BN mengekalkan kuasa melalui usaha menakut-nakutkan rakyat.

Walaubagaimanapun, ujar Kit Siang, segala tomahan dan fitnah ini merupakan ujian kritikal bagi kita rakyat Malaysia dalam pilihanraya umum akan datang.

“Adakah sistem demokrasi dan pembangunan di Malaysia ini telah matang untuk menangkis semua kebejatan dan taktik politik kotor yang dimainkan supaya rakyat Malaysia  hidup dalam ketakutan. Bermusuhan sesama sendiri dan terus dibohongi?”

Tolak fitnah, terima fakta dan kebenaran

Saudara-saudariku sekelian,

Mudahan catatan ini menjadi pedoman dan memberi kefahaman kepada kalian. Memang kebenaran kadang-kadang bukan seperti yang disangka. Tetapi inilah hakikat dan fakta. Aku tidak tahu apa persepsi dan pandangan kalian selepas ini. Terpulang buat kalian untuk membuat kesimpulan.

Bukan hanya Lim Kit Siang, ramai lagi pemimpin rakyat yang terus dimangsakan. Bagi aku, tuduhan dan fitnah melampau yang dipalit terhadap Kit Siang, terhadap DAP, terhadap PAS dan terhadap PKR, serta terhadap parti-parti oposisi lain dan pemimpin NGO adalah semata-mata untuk menimbulkan rasa curiga di kalangan kita agar yang berkuasa terus berkuasa dan merompak harta negara.

Aku tahu kita sayangkan bangsa Malaysia. Aku tahu kita sayangkan Malaysia. Tanah air yang tercinta ini harus kita tebus maruahnya. Permusuhan, kecurigaan, takut, benci kepada bangsa-bangsa yang lain cuma akan menyebabkan kita tersepit dalam dimensi yang asing.

Sedarlah bahawa UMNO-BN yang memerintah kini adalah mereka yang telah lama menghisap darah dan merompak harta kita, harta negara. Yang sedihnya, ahli-ahli UMNO akar umbi juga merasa perit akibat kerakusan kuasa pemimpin mereka sendiri.

Kita, sama ada Melayu atau siapapun tidak akan mengecapi apa-apa kesudahan bernegara yang sejati tanpa membersihkannya dari kekotoran rasuah dan salah guna kuasa. Ini musuh sebenarnya.

Negara ini dibina oleh semua. Negara ini berdiri atas jerih perih kita anak semua bangsa yang bekerja memerah tenaga. Negara ini dibina atas setiap sen dan ringgit yang dicukai. Malaysia milik kita bersama. Keluarlah dari utopia hegemoni kaum yang menjajah jiwa merdeka kita.

Sampai masanya kita maju ke hadapan, berfikirlah melangkaui ketakutan. Bertekadlah, suburkanlah damai dan kasih sayang sesama kita. Tebarkanlah kebenaran dan cetuskan perubahan. – Roketkini.com