Berita

Guan Eng boleh maafkan Utusan, NST jika…

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia, Lim Guan Eng menyatakan kesediaannya memaafkan dosa-dosa Utusan Malaysia terhadap beliau, dengan syarat akhbar milik United Malays National Organisation itu memberi hak dan peluang untuk beliau menjawab tuduhan dan fitnah mereka.

Setiausaha Agung DAP itu menyuarakan kesediaan beliau untuk memaafkan akhbar Utusan dan juga New Straits Times (NST), yang turut dikuasai UMNO, yang sering memutarbelit kenyataan-kenyataan beliau tanpa memberi peluang dan ruang untuk sebarang penjelasan atau jawapan.

“Kebebasan akhbar merangkumi hak untuk kedua-dua pihak untuk memberikan kenyataan mereka. Kebebasan akhbar bukanlah kebebasan untuk memfitnah,” katanya di majlis berbuka puasa anjuran Roketkini di ibu pejabat DAP di sini malam tadi.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang telah dua kali memenangi kes saman mahkamah terhadap fitnah yang disiarkan Utusan Malaysia. Namun Utusan tidak pernah serik kerana terus ‘dilindungi’ oleh UMNO untuk terus memfitnah Guan Eng dan DAP.

“Sekurang-kurangnya bagi saya peluang untuk menjawab,” ujar beliau lagi sambil menambah bawa hak menjawab ini telah dinafikan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

“Kita boleh pulihkan hubungan di antara pihak saya dan surat khabar yang dimiliki oleh Barisan Nasional dan UMNO,” tambah beliau.

Pentadbiran Guan Eng sebelum ini dikritik kerana menghalang Utusan Malaysia daripada menghadiri sidang medianya atau membuat liputan programnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sejak akhbar tersebut menyiarkan fitnah kononnya beliau mahu menghapuskan DEB pada 2008.

Sejak itu Utusan tidak pernah berhenti membohongi pembacanya tentang Guan Eng dan DAP. Akhbar yang berbaur perkauman itu telah menuduh DAP mahu menubuhkan negara Kristian, menubuhkan negara komunis, dan pelbagai tohmahan yang palsu serta tidak masuk akal.

Semua itu dilakukan semata-mata mahu membangkitkan kemarahan dan kebencian orang Melayu terhadap Guan Eng dan DAP yang demokratik, adil dan menerima semua kaum sebagai ahli.

Ada pihak mempertahankan tindakan Guan Eng kerana Utusan hanyalah lidah rasmi UMNO yang menyamar sebagai akhbar harian. Sepatutnya Utusan dikenakan sekatan yang sama seperti lidah rasmi parti lain, iaitu hanya dibenarkan terbit dua kali sebulan serta dihadkan kepada ahli-ahli UMNO sahaja.

Guan Eng berharap Utusan dan NST menerima tawaran beliau kerana itu pun hanyalah mengingatkan media tentang kebebasan dan tanggungjawab mereka untuk menyiarkan berita serta memberi hak untuk menjawab.

“Mungkin kita ada semangat Ramadan, tak tahu mereka ada semangat Ramadan atau tidak,” katanya.  – Roketkini.com