Berita

Dakwa Rafizi, tindakan balas dendam UMNO-BN

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Tindakan mendakwa Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli di bawah Akta Instiusi Perbankan dan Kewangan hari ini disifatkan sebagai langkah balas dendam terhadap beliau yang memperjuangkan hak rakyat..

Demikian kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua di dalam kenyataan medianya memberi respon kepada pendakwaan Rafizi di bawah akta tersebut atas kesalahan mendedahkan rahsia perbankan melibatkan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) oleh syarikat kendalian keluarga Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Menurut Pua, meskipun begitu banyak bukti didedahkan setakat ini, hanya suami Shahrizat yang dihadapkan ke mahkamah, dan itu pun hanya untuk dua pertuduhan melibatkan salahguna dana syarikat NFCorp sebanyak RM40 juta dan pembelian dua unit kondominium mewah One Menerung di Bangsar untuk RM13.5 juta.

Katanya, selain fakta yang diperolehi daripada akaun NFC bahawa lebih daripada RM110 juta telah disalahguna untuk menubuhkan rangkain syarikat atas nama persendirian, Rafizi juga telah mendedahkan bahawa keluarga Shahrizat telah membeli tiga buah kondominium di Singapura bernilai RM45 juta, termasuk sebuah vila di Kazakhstan.

“Walaupun begitu, tiada satu pun aset tersebut dibekukan oleh pihak berkuasa, dan pengarah-pengarah syarikat lain juga tidak didakwa walaupun memegang pelbagai jawatan di dalam NFC,” ujarnya.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang melepaskan pihak-pihak yang bertanggungjawab tetapi mendakwa pula orang yang bertindak mendedahkan penyelewengan tersebut.

“Tindakan pihak berkuasa memberi tamparan hebat kepada kempen anti-rasuah yang dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak di bawah NKRA anti-rasuah dalam program transformasi kerajaan,” tambah beliau.

Beliau juga mengecam tindakan tersebut sebagai satu langkah merendahkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang digubal pada Disember 2010 untuk menggalakkan lebih ramai orang untuk mendedahkan kes-kes rasuah.

Selain pendedahan skandal NFC, Rafizi turut mendedahkan isu sambungan LRT Ampang yang diperolehi konsortium yang dikepalai George Kent (Malaysia) Bhd. Syarikat tersebut yang didakwa mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri Najib Razak berjaya memenangi kontrak projek sambungan LRT tersebut semalam.

Rafizi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini dan mengaku tidak bersalah serta meminta dibicarakan. Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara tiga tahun atau denda RM3 juta. Hakim Aslam Zainuddin menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan kes pada 10 September. – Roketkini.com