Rencana

Mitos ekonomi UMNO untuk orang Melayu – Oleh Muhammad Nazreen

Memang, wujud perkaitan rapat di antara pengaruh ekonomi dan kesannya terhadap kelangsungan hubungan etnik di Malaysia. Ini bukanlah perkara yang salah. Jadi, dasar inilah yang memacu UMNO menggunakan ketakutan di kalangan orang Melayu yang merasakan terancam dengan dominasi ekonomi Malaysia daripada kelompok minoriti.

Faktanya dipesongkan supaya kelihatan dominasi ekonomi menjadikan acuan kepada tekanan perkauman. Penulis terpanggil untuk menjernihkan kekalutan yang diciptakan selama berpuluh-puluh tahun supaya UMNO terus gagah merompak harta rakyat.

Sebenarnya, ada asas yang lebih meyakinkan kita bahawa tidak wujud dominasi ekonomi atas dasar perkauman. Di sini, penulis mencuba untuk menjelaskan penipuan yang terselindung selama ini.

1. Hukum asas pasaran

Pertama, asas hukum pasaran bertentangan dengan sesuatu identiti. Pasaran berdiri di atas dua sebab: a) adanya Permintaan (Demand) dan Pembekalan/Penawaran (Supply). Hukum pergerakan ekonomi ternyata sah dengan kehadiran dua perkara asas ini. Penulis merasakan secara asasnya pasaran tidak mengenal warna kulit dan identiti untuk dijana.

Sebagai contoh,bayangkan A,B,C dan D merupakan aktor industri di dalam pasaran. A menjual beras daripada B. B menjual nasi kepada C. C menjual nasi goreng daripada D. Lalu, A membeli gula daripada D, D membeli air daripada C dan B membeli air sirap daripada A. Jadi, di sini kita lihat bahawa kebergantungan ekonomi secara idealistiknya hanya bergantung kepada ‘bargaining power’ yang ada dari sesuatu pembekal dan pengguna.

Ternyata, kuasa ekonomi asas bergantung kepada pemilik modal yang tidak ditentukan menerusi sesuatu identiti tetapi secara hukumnya ditentukan menerusi nilai permintaan dan pembekalan.

2. Permuafakatan kuasa politik

Kedua, penjelasan di atas mungkin kelihatan terlalu simplistik. Jadi, penulis ingin membawa kita kepada perbincangan yang lebih mendalam. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi campuran, Malaysia mempunyai kuasa untuk mengenakan kawalan dalam tindakan-tindakan makroekonomi. Kerajaan berhak menentukan dasar-dasar kawalan ekonomi seperti kawalan fiskal dan monetari.

Lantas, ekuiti pembahagian kekayaan terletak pada keputusan kabinet. Soalan seterusnya adalah apakah dasar-dasar ekonomi yang diluluskan kabinet tidak mempunyai pengaruh dan kuasa politik? Sudah tentu tidak.

Berbalik kepada perkara seterusnya, kuasa politik di Malaysia berdiri di atas permuafakatan kaum dan bertujuan menjaga keharmonian semua sebagai warganegara. Jadi, persepakatan politik di antara kaum-kaum menjadikan bahawa sebarang tindakan makroekonomi yang diambil kerajaan perlulah mengambilkira semua kelompok dan tidak ada kelompok yang tercicir sekiranya kerajaan benar-benar melaksanakan tugas mereka.

Kerjasama Pakatan Rakyat di kalangan parti politik seperti PKR, DAP dan PAS misalnya merupakan contoh permuafakatan politik yang melintasi persoalan kaum sebagai perkara utama.

Bagi Pakatan Rakyat, ruang persefahaman di antara mereka yang mewujudkan momentum supaya persoalan asasi melibatkan kepentingan semua dapat terjamin.

Jadi, kelompok-kelompok di dalam Pakatan Rakyat membentuk suatu gabungan yang cakna supaya tiada golongan yang tertinggal. Jadi, apakah gabungan politik ini bakal menyisihkan sesetengah kaum? Tentu sahaja tidak.

3. Dasar Ekonomi Baru dan tindakan afirmatif

Ketiga, mekanisme ekonomi di Malaysia merupakan sebahagian daripada tindakan afirmatif. Tindakan afirmatif bermaksud dasar yang mengambil faktor agama, ras, etnik, orientasi seksual dan kewarganegaraan sebagai pertimbangan supaya tiada golongan yang tertinggal daripada agihan kekayaan, pekerjaan dan hak sosial.

Perdebatan ekonomi yang berkaitan di Malaysia tidak boleh dipisahkan dengan tindakan afirmatif, di mana ia merupakan suatu tindakan ekonomi yang memastikan bahawa tiada kelompok yang tercicir daripada pembahagian kekayaan negara. Di atas dasar ini jugalah, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada tahun 1971.

Matlamat asal DEB bertujuan untuk memastikan kaum bumiputera menerima ekuiti kekayaan sebanyak 30% kerana ketika itu kemiskinan di kalangan etnik Melayu menyebabkan dasar afirmatif diteruskan.

Bagi penulis, kemiskinan bukanlah didasarkan atas faktor kaum tetapi sebenarnya merupakan analisa terhadap jurang pembahagian kelas sosial. Jadi, tindakan affirmatif yang murni sebenarnya bertujuan untuk merapatkan jurang kelas bawahan dan kelas atasan dengan menambah jumlah golongan kelas menengah bukan melahirkan pemisahan antara kaum sepertimana yang diterajui UMNO.
Hal ini sekali lagi membenarkan bahawa persaingan ekonomi tidak cenderung kepada hubungan etnik semata-mata tetapi lebih dilihat sebagai perlawanan kelas di antara yang kaya dan yang miskin.

Mitos yang menyatakan bahawa orang Melayu akan hilang dominasi ekonomi sekiranya UMNO dikalahkan adalah suatu mitos yang memastikan UMNO untuk terus survival sebagai pemerintah Malaysia.

4. Minoriti melawan majoriti?

Keempat, perkara yang sering digembar-gemburkan UMNO adalah ekonomi Malaysia kini mengalami ‘minority market domination’ di mana etnik Cina dilihat mempunyai kuasa ekonomi yang mampu menekan warga majoriti iaitu orang Melayu. Dakwaan ini mengatakan bahawa 60% daripada agihan kek ekonomi dikuasai etnik Cina.

Mungkin, dakwaan ini ada asasnya terutamanya  tetapi penulis melihat perspektif ini sebagai sesuatu yang bermasalah. Ini kerana keadaan ekonomi kini sudah berubah. Jumlah orang Melayu yang mendapat pendidikan tinggi sudah meningkat dan kini, banyak jawatan-jawatan korporat dan profesional diisi oleh orang Melayu.

Lebih 10 tahun lalu, 28 syarikat yang didaftarkan di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur, 8 syarikat daripadanya atau sekitar 28% menyaksikan wujud kerjasama di antara golongan bumiputera dan etnik Cina. Sepuluh tahun selepas itu, lebih banyak syarikat-syarikat Bumiputera mampu didaftarkan di bursa saham tanpa mempunyai kepentingan terus kepada kerajaan.

Jadi, isu ekonomi adalah persoalan persaingan. Sekiranya, orang Melayu sedia untuk bersaing secara sihat. Isu ketinggalan di dalam peluang ekonomi sebenarnya tidak wujud. UMNOlah yang bertanggungjawab selama ini memberi gambaran palsu bahawa orang Melayu tidak mampu bersaing secara sihat. Ini membuktikan bahawa UMNO mengecilkan kaum Melayu.

5. Pembaziran kerajaan yang melampau dan amalan rasuah

Kelima, masalah ekonomi di Malaysia sebenarnya berpunca daripada pembaziran melampau kerajaan dalam membelanjakan wang cukai kerajaan sewenang-wenangnya. Defisit perbelanjaan negara yang berturutan beberapa tahun sehingga hutang negara memuncak yang mendorong pertumbuhan ekonomi terbantut.

Jadi, golongan yang terkesan daripada pembaziran ini adalah semua rakyat Malaysia bukan orang Melayu atau Cina sahaja.

Pembaziran yang melampau serta skandal-skandal rasuah berskala besar di kalangan pimpinan negara menyebabkan inflasi berterusan tanpa kawalan. Disebabkan ini, negara dirundum dengan beban ekonomi yang teruk
Maka, kita memerlukan urus-tadbir yang cekap, akauntabel dan telus (C.A.T) untuk dilaksanakan oleh badan-badan kerajaan. Misalnya, sistem tender terbuka yang diperkenalkan di Pulau Pinang kini membolehkan ramai kontraktor-kontraktor Melayu bersaing secara sihat tanpa memerlukan kroni-kroni politik untuk mendapatkan kontrak kerajaan. Kesannya, pembahagian tender dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan.

Semenjak 2008, kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat Pulau Pinang membuktikan bahawa mitos UMNO bahawa tanpa mereka, Melayu tidak mampu bersaing adalah tidak benar.

Seraya itu,  golongan kontraktor Melayu berjaya meningkatkan lagi efisiensi mereka. Ini merupakan serba sedikit perkara yang dapat membuktikan bahawa orang Melayu boleh bersaing tanpa perlindungan daripada kerajaan, tetapi mampu bersaing dengan baik sekiranya jenayah rasuah dan kronisme dapat dibanteras.

6. Kesimpulan

Kesimpulannya, mitos UMNO untuk orang Melayu yang cuba melaga-lagakan orang Melayu dan etnik minoriti yang lain merupakan tindakan terdesak mereka supaya tembelang mereka tidak pecah.

Demikian, mereka dapat meneruskan usaha merompak wang yang diamanahkan rakyat kepada mereka untuk diberikan kepada suku-sakat mereka. Namun, perkara ini tidak akan berpanjangan jika orang Melayu mula sedar bahawa mereka telah dipermainkan selama hampir 55 tahun. – Roketkini.com