Berita

Suruhanjaya Siasatan Diraja PATI Sabah: Janji ditepati atau janji terang bulan?

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Terlalu banyak keraguan tentang pengumuman terma rujukan  Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah.

Ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan Barisan Nasional benar-benar serius untuk menangani masalah itu atau sekadar menabur janji kosong yang telah menjadi budaya politik parti pemerintah, semata-mata untuk menang dalam pilihanraya umum akan datang.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, pengumuman tentang RCI tersebut serta terma rujukannya adalah sudah terlalu lewat dan mempunyai kuasa yang amat terhad untuk mengatasi masalah.

Menurutnya, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Najib Razak tentang terma rujukan RCI tidak menyatakan dengan jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh RCI tersebut.

Katanya, isu kad pengenalan yang dikatakan diberi kepada PATI untuk membolehkan mereka menjadi pengundi bukan hanya masalah besar di Sabah tetapi masalah kepada Malaysia.

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan BN mengapa tidak ada siasatan di peringkat nasional tentang masalah itu yang bakal mengancam keselamatan negara.

Kit Siang juga bertanya sama ada RCI tersebut sanggup menyiasat mereka yang bertanggungjawab mengeluarkan kad pengenalan tersebut, sama ada yang sahih tetapi diperolehi dengan cara yang salah atau dokumen-dokumen palsu.

Beliau turut mempersoalkan kerajaan BN yang telah menolak usul beliau di Parlimen pada tahun 2008 yang mencadangkan penubuhan RCI tersebut.

Selain itu, Kit Siang turut bertanya sama ada RCI tersebut berkuasa untuk menyiasat apa yang dikatakan sebagai “Projek M” atau “Projek IC” serta memanggil bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai saksi terhadap masalah PATI yang melanda Sabah.

Projek M merujuk kepada situasi di mana ratusan ribu kad pengenalan Malaysia dikatakan telah diberikan kepada PATI untuk membolehkan mereka menjadi warganegara tanpa perlu melalui proses perundangan, dan tujuannya adalah untuk menjadikan PATI sebagai pengundi untuk BN. Keadaan itu dikatakan berterusan berlaku sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, Dr Mahathir telah dilaporkan oleh media bahawa RCI yang diumumkan oleh Najib adalah tidak perlu.

Katanya, PATI berhak meminta menjadi warganegara Malaysia dan beliau tidak mahu sebarang usaha dilakukan untuk menyiasat mereka.

“Mereka berhak minta kerakyatan. Saya harap kita tak ada usaha untuk keluarkan mereka. RCI sebenarnya tidak perlu. Kerajaan akan bermasalah jika mengetahui sebarang keputusan suruhanjaya itu,” katanya, sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini. – Roketkini.com