Berita

Manipulasi kadar jenayah: Menteri kena jawab

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Integriti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PEMANDU tercalar teruk berikutan pendedahan seorang pegawai polis, Sumun Osram mengenai wujudnya manipulasi data jenayah dalam perangkaan rasmi KDN.

Justeru, Pakatan Rakyat dalam kenyataan medianya semalam meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif  PEMANDU,  Datuk Seri Idris Jala tampil membuat penjelasan mengenai dakwaan tersebut.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Seketariat Pakatan Rakyat yang diwakili oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Jawatankuasa Pusat PAS Dr. Hatta Ramli dan Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong.

Menurut kenyataan media itu, pendedahan surat tersebut adalah sangat serius kerana ia menimbulkan keraguan kepada integriti perangkaan rasmi, dan seterusnya integriti Menteri Dalam Negeri, PEMANDU dan PDRM.

Surat daripada Sumun Osram tersebut mendakwa bahawa terdapat percubaan sistematik untuk menurunkan perangkaan jenayah dengan cara menukarkan jenayah indeks kepada jenayah bukan indeks.

Ia juga menjelaskan bahawa penukaran tersebut dilakukan ketika laporan polis dibuat dimana klasifikasi jenayah indeks kepada jenayah bukan indeks akan direkodkan dalam sistem laporan polis sebagai ‘bukan-indeks’ bagi tujuan perangkaan dan ia seterusnya mengurangkan jumlah jenayah indeks.

‘Jenayah Indeks’ bermaksud jenayah yang dilaporkan pada kadar kekerapan yang signifikan bagi dimengertikan sebagai jenayah indeks bagi kadar jenayah.

‘Jenayah bukan Indeks’ pula merupakan kes-kes kecil yang tidak berlaku secara kerap yang membolehkannya dimasukkan dalam perangkaan jenayah atau sebagai kayu ukur kepada kadar jenayah. Perangkaan rasmi hanya mengandungi Jenayah Indeks.

“Pakatan Rakyat meminta agar Hishammuddin dan Idris Jala untuk mendedahkan perangkaan kes-kes yang diklasifikasikan di bawah seksyen-seksyen 148, 382, 452 dan 453 Akta Jenayah selepas perlaksanaan NKRA sehingga ke hari ini dan tiga tahun sebelum perlaksanaan NKRA bagi membuktikan kebenaran.”

Sebelum ini soalan mengenai kadar statistik jenayah pernah diajukan kepada KDN dalam sesi parlimen Jun lalu oleh ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua tetapi data yang diberikan tidak lengkap malah bertentangan dengan data jenayah tahun sebelumnya. – Roketkini.com