Berita

“Kejayaan janji ditepati” jaga kroni BN di Sabah – Lim Lip Eng

PENAMPANG 9 SEPTEMBER: “Kroni dan pemimpin UMNO-BN diutamakan, rakyat Sabah diketepikan.” Demikian gambaran yang diberikan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam ucapan beliau ketika sesi jelajah pendengaran umum “Bicara Rakyat Sabah”.

Dalam ucapannya, beliau berkata Sabah adalah negeri yang jauh lebih kaya dengan pelbagai sumber asli berbanding Singapura. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Kenapa Singapura lebih maju dari Sabah? Ini Semua kerana kerajaan BN gagal memenuhi janji-janji mereka.

“Pada tahun 2009 statistik dari Bank Dunia meletakkan Sabah merupakan negeri pertama termiskin di Malaysia. Ini amat memalukan? Apa janji yang telah ditunaikan BN di Sabah?” soal Lip Eng.

Katanya, setelah 49 tahun BN memerintah Sabah mereka cuma berjaya menjaga poket Ketua-ketua Menteri.

“Semua mereka dijaga dan kaya-kaya belaka tetapi kerajaan BN tidak jaga kebajikan dan ‘poket’ rakyat Sabah sendiri. Mereka berjaya menghasilkan paling ramai Ketua Menteri di Malaysia. Ini merupakan pencapaian bukan?

“Kalau Ketua-ketua Menteri ini bukan billionaire mereka adalah jutawan. Tetapi sayangnya rakyat negeri Sabah pula yang miskin. Itu janji yang ditepati BN.” ujar Lip Eng.

Ahli Parlimen Segambut itu turut memberikan satu bukti dimana salah seorang Ketua Menteri Sabah, Osu Sukam yang menjawat jawatan tersebut pada 1999 hingga 2001 telah berhutang sehingga RM7,142,859.98 juta dengan Crown Casino di Melbourne Australia.

Pada tahun 2005 pula Osu Sukam telah dilaporkan berhutang sebanyak AS$1.8 juta pula kepada Kasino Ritz Hotel di London, Britain.

“Ini membuktikan BN tidak jaga kualiti pemimpin, bagaimana pemimpin nak jaga kualiti hidup rakyat?” katanya.

Menyeru rakyat Sabah agar menukar kerajaan dalam pilihan raya akan datang, Lip Eng memberikan bukti kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat yang telah dicapai di Selangor.

“Banyak yang telah kerajaan Pakatan Rakyat berjaya lakukan antaranya di Selangor, bayi dilahirkan dapat RM100 sehingga mereka berumur 18 tahun manakala orang yang meninggal, keluarga mereka akan mendapat RM2500.

“Di Pulau Pinang pula, kerajaan negeri berjaya  hapuskan rasuah, bersih, tidak sampai 3 tahun dari bawah pimpinan Lim Guan Eng, Pulau Pinang telah berjaya hapuskan kemiskinan tegar. Banyak lagi insentif yang rakyat Pulau Pinang  peroleh sepertimana di Selangor.

“Ini bukan janji, tetapi apa yang telah berjaya kita lakukan, kita mahu tiada rasuah, mentadbir secara adil dan mendatangkan manfaat kepada rakyat.”

Sehingga hari ini, rakyat negeri Sabah banyak berhadapan dengan pelbagai kesulitan. Kemudahan infrastruktur, kos sara hidup yang tinggi, kemiskinan, kebanjiran PATI dan sebagainya.-roketkini.com