Berita

Konsert ‘Malaysia Milik Kita Bersama’ sambut Hari Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER: “Kecewa dan marah dengan hipokrasi dunia” band Second Combat akan mengadakan persembahan dalam konsert anjuran Roketkini.com, bertemakan “Malaysia Milik Kita Bersama” sempena Hari Malaysia 16 September ini.

Second Combat terkenal sebagai sebuah kumpulan punk rock straightedge yang bukan sahaja mempunyai pengikut tempatan, malah telah berjaya memecah pasaran Eropah dengan lagu-lagu yang menolak gaya hidup tidak sihat; menentang salahguna dadah, alkohol, rokok dan pergaulan bebas melampau.

“Kita nyanyikan tentang isu pemerdagangan manusia, penderaan kanak-kanak, sistem pendidikan kita, buruh kanak-kanak, hak orang asli, globalisasi, kapitalisme dan sebagainya dimana banyak band-band lain tidak ketengahkan.” ujar Ein, vokalis bersuara nyaring dalam wawancara eksklusif bersama Roketkini baru-baru ini.

Persembahan mereka kali ini akan mengenengahkan semangat kecintaan terhadap negara, menolak korupsi selain membawa mesej mengekang gejala dadah, termasuk mengetengahkan isu pencemaran alam, kapitalisme dan pelbagai lagi.

Konsert sambutan Hari Malaysia itu juga bakal menampilkan kumpulan hip hop 5forty2 yang akan turut bersama menggegarkan malam tersebut.

Hari Ahad 16 September 2012 jam 8 malam ini, Roketkini.com menjemput seluruh anak-anak muda peminat Second Combat dan 5forty2 untuk sama-sama menggegarkan Kuala Lumpur sambil menentang gejala korupsi, salah guna kuasa, pencemaran alam, dadah dan meraikan kebebasan. Masuk adalah percuma. – Roketkini.com