Berita

Tidak ada ‘hitam putih’: Perjanjian pembuangan sisa radioaktif Lynas mengejutkan

KLANG, 11 SEPTEMBER: Kenyataan Pengarah Urusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) Raja Abdul Aziz Raja Adnan disifatkan sebagai kenyataan yang amat dangkal apabila beliau mengakui tiada ‘hitam-putih’ dalam perjanjian untuk membuang sisa radioaktif  oleh syarikat pelombong nadir bumi Australia (Lynas).

Malah, Abdul Aziz menambah, pembuangan bahan sisa radioaktif oleh syarikat tersebut bukanlah sesuatu yang wajib (mandatori) kerana menurutnya , “ia tidak pernah menjadi syarat pada lesen”.

Mempersoalkan kenyataan itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, dimana dan bagaimanakah letaknya asas untuk sebarang tindakan undang-undang apabila tidak wujud sebarang perjanjian hitam putih?

“Adakah beliau cuba berjenaka atau sememangnya beliau bodoh? Atau beliau berfikir bahawa rakyat begitu mudah diperbodohkan?

Antara persoalan lain yang timbul ujar Santiago, mengapa pihak AELB tidak menyatakan mengenai tindakan yang akan diambil dan bagaimana tindakan ini akan dilaksanakan?

“Sekali lagi kita tidak pasti adakah ia sekadar reaksi kepada bantahan umum atau mereka benar-benar serius.”

“Sudahlah perjanjian dengan Lynas itu nampak meragukan kerana kurangnya syarat dan terma pada kontrak berkenaan pengurusan sisa. Ia seolah-olah memenuhi kehendak Lynas secara sesuka hati dan tidak akan memberikan apa-apa keyakinan kepada rakyat,” katanya.

“Australia telah jelas tidak akan menerima sebarang sisa buangan Lynas. Jadi, saya ingin bertanya Raja Abdul Aziz, negara mana di dunia yang dirasakannya gembira menerima jutaan tansisa radioaktif dari Lynas?”

“Kerajaan Malaysia dan AELB seolah-olah tidak belajar dari tragedi yang pernah berlaku. Antaranya kecacatan serius pada kelahiran bayi dan lapan kes leukemia dalam tempohlima tahun terhadap 11,000 penduduk suatu ketika dulu kerana membenarkan operasi kilang Asia Rare Earth di Bukit Merah Perak,” katanya. – Roketkini.com