Berita

Guan Eng beri petua perubahan Sabah

KUALA LUMPUR, 16 SEPTEMBER: DAP menawarkan enam perubahan asas untuk Sabah bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ke 49 supaya negeri itu tidak lagi kekal sebagai negeri termiskin di Malaysia, malah menjadi negeri paling kaya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyenaraikan enam asas itu dalam perutusan Hari Malaysia beliau. Enam perubahan asas yang disebutkan Guan Eng ialah:

  1. Royalti minyak yang lebih saksama dengan peningkatan daripada 5% kepada 20% untuk menyelesaikan masalah-masalah lama yang berkaitan dengan ekonomi, peindidikan dan pembasmian kemiskinan;
  2. Menaik taraf infrastruktur jalan raya yang memalukan serta menaik taraf pelabuhan-pelabuhan serta lapangan-lapangan terbang sedia ada;
  3. Memastikan bekalan air dan elektrik yang cukup dan tidak diganggu. Memasang wifi percuma di tempat-tempat awam serta menyediakan capaian internet untuk semua;
  4. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab dan menyelesaikan krisis pendatang tanpa izin;
  5. Melantik di mana boleh rakyat Sabah untuk jawatan-jawatan kerajaan dalam jabatan-jabatan persekutuan dan negeri; serta
  6. Dasar tanah berjiwa rakyat dengan memastikan mereka yang memegang jawatan politik awam tidak layak memohon untuk tanah negeri; tiada penyingkiran atau mengurangkan hakmilik tanah dari 999 tahun ke 99 tahun; pembaharuan pajakan tanah secara otomatik apabila tamat tempoh dengan pembayaran hanya 10% daripada premium tanah (diskaun 90%).

Menurut beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, walaupun Sabah mempunyai sumber asli yang banyak, ia masih lagi merupakan negeri paling miskin di Malaysia dengan kemudahan dan infrastruktur yang tidak sebaik Semenanjung.

“Jika Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa, Pakatan Rakyat akan menuntut semula status Sabah dan Sarawak di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai rakan kongsi setaraf dengan Semenanjung,” kata beliau.

Menurut beliau, selepas 49 tahun penubuhan Malaysia, Sabah dan Sarawak telah menjadi negeri yang tidak sekufu dengan Semenanjung dan tidak mendapat layanan yang sama, justeru mewujudkan andaian bahawa Sabah dan Sarawak semakin terkebelakang dalam semua segi. – Roketkini.com