Berita

Najib Razak gagal pujuk Taib Mahmud

KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER: Perdana Menteri Najib Razak kelihatan terlalu lemah untuk menagih janji Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud meletak jawatan dan kini mereka saling bodek-membodek antara satu sama lain

Sebelum pilihanraya negeri Sarawak pada April 2011, Najib telah cuba menekan Taib untuk meletakkan jawatan Ketua Menteri tetapi tidak berjaya malah sejurus sahaja BN diumumkan memenangi dua per tiga kerusi, malam tersebut juga Taib mengadakan majlis angkat sumpah Ketua Menteri.

Menyifatkan Taib sedang mengejek Najib siapa yang dapat bertahan lebih lama, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata ia jelas dalam “Pesta Cinta” Najib dan Taib di Bintulu semasa sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.

“Najib memuji Taib dan Kerajaan Negeri Sarawak kerana berkerjasama dan membantu Kerajaan Pusat, malah menuduh “sesetengah negeri” tidak membangun seperti Sarawak kerana kerajaan negeri itu “lebih suka mempolitikkan isu berbanding berkerjasama dengan Kerajaan Pusat”.

“Taib pula memainkan peranannya memberi restu kepada Najib sebagai Perdana Menteri dengan mengatakan adalah merugikan kepada negara dan rakyat “sekiranya kita hilang kesinambungan kerajaan yang bagus seperti Barisan Nasional”.

Menurut Kit Siang, terdapat laporan bahawa Taib yang telah menjadi Ketua Menteri Sarawak selama lebih 30 tahun sejak 26hb Mac 1981 berjaya mendapat “penangguhan hukum” kerana beliau akan mengumumkan pilihan raya negeri dan akan meninggalkan jawatannya sebaik sahaja “tempoh peralihan” telah menemukannya dengan pengganti yang sesuai.

Walau bagaimanapun ujar Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, janji kononnya Taib telah bersetuju untuk meletak jawatan dalam tempoh tujuh bulan lagi tidak menampakkan sebarang tanda.

“Malah, segala petunjuk menghala ke arah bertentangan. Ini dijelaskan dalam ucapannya pada 8 September lalu bahawa tiada keperluan untuk mempercepatkan peralihan kepimpinan kerana rakyat Sarawak telah pun ‘menikmati keamanan, kestabilan politik dan pembangunan terancang’.”

Tambah Kit Siang, lawatan Perdana Menteri ke Bintulu ketika sambutan Hari Malaysia baru-baru ini adalah waktu paling sesuai untuk Najib mendapatkan penjelasan daripada Taib adakah janjinya untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak masih tidak berubah.

“Walaubagaimanapun, ia sekadar menyaksikan “pesta cinta” Najib dan Taib. Ia menyerlahkan kemenangan mudah Taib dalam pergelutan politiknya dengan Najib.

“Puncanya juga jelas, keadaan telah berubah dengan Taib kini mempunyai pengaruh politik mengatasi Najib berbanding 18 bulan lalu sebelum pilihan raya negeri Sarawak 16 April, 2011.” ujar Kit Siang mengakhiri kenyataannya. – Roketkini.com