Rencana

Korupsi : Aktiviti rentas budaya, bangsa dan agama Oleh : Mazir Ibrahim

Kita sememangnya sedang berkongsi nilai-nilai baik anjuran agama, pengetahuan dan falsafah yang disumbangkan menerusi usaha, amalan dan penemuan oleh generasi terdahulu, inilah yang telah membentuk kesedaran kita dalam aspek bermasyarakat. Di dalamnya terkandung aktiviti ekonomi, komunikasi dan kebudayaan.

Aktiviti ekonomi pastinya bermula apabila wujud permintaan dan penawaran. Asas ini wujud dalam setiap aspek kehidupan kita, Cuma barangkali bahasa yang digunakan dalam kehidupan harian agak berbeza, seperti faktor penolakan yang wujud bersekali dengan faktor penarikan, atau adanya keinginan atas sesuatu peluang yang terbuka.

Faktor luar dan dalam

Tidak mungkin akan wujud yang dikatakan sebagai ‘aktiviti’ jika hanya ada satu faktor sahaja. Sebagai contoh, rasuah tidak akan berlaku jika yang memberi tidak menawarkannya dan dipihak penerima tidak meminta.

Begitu juga dengan aktiviti salahguna kuasa. Seseorang pengarah tidak akan cuba menggunakan kuasa dan kedudukannya untuk satu tujuan yang salah jika tidak wujud sama sekali ruang dalam sistem urustadbir itu.

Ini bermakna, jika korupsi kerap berlaku, pastinya ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem tersebut. Ini menunjukan bahawa, keinginan dan keupayaan seseorang untuk melakukan korupsi akan menjadi lebih kecil atau tertutup jika sistem kita telus.

Ini adalah objektif disebalik faktor-faktor lain iaitu faktor kelemahan manusia yang sangat kompleks.

Kawalan dan uruselia

Untuk mengawal aktiviti rasuah dan korupsi ini, pastinya kita boleh mewujudkan satu sistem yang telus dan ketat. Kita juga boleh menggubal seberapa banyak undang-undang anti rasuah atau anti korupsi dengan hukuman yang berat. Tetapi semua ini bergantung kepada iltizam dalam aspek perlaksanaannya.

Sejauh mana kita memantaunya? Secekap mana kita menyiasatnya dan sejauh mana kebebasan kita untuk mendedahkannya?

Usaha yang kristal

Contoh-contoh usaha yang sedang dan telah dibuat oleh Pakatan Rakyat cukup untuk menjadi contoh bagaimana keazaman mereka untuk mengatasi masalah ini. Antaranya ;

1. Pulau Pinang telah menggubal rang undang-undang untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan. Rasional disebalik cadangan ini pastinya ingin memastikan pihak PBT yang merupakan instrumen penting kerajaan negeri dapat diurus, ditadbir dengan cekap, telus dan berakauntabiliti. Tidak ada keraguan lagi mengenai iltizam ini adalah untuk mengawal aktiviti rasuah atau korupsi diperingkat agensi kerajaan negeri.

2. Enakman kebebasan maklumat di Selangor juga merupakan salah satu usaha penting kerajaan PR untuk memastikan segala urusan yang melibatkan kepentingan rakyat diketahui, dimaklum dan mempunyai akses buat semua pihak meneliti dan menyemak segala urusan yang berkaitan dengannya. Pastinya ini memberi motivasi penting kepada ‘penggiat aktiviti rasuah’ untuk mengehntikan aktiviti tersebut kerana ketelusan ini, pastinya akan mendedahkan kegiatan mereka kepada pihak umum.

3. Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Negara atau National Oversight and Whistleblowers (NOW) juga diwujudkan atas inisiatif Rafizi Ramli demi memastikan setiap pendedahan rasuah atau korupsi, dapat memberi perlindungan kepada pendedah (saksi).

Harapan dan keyakinan

Ditahap ini, Pakatan Rakyat sudah menunjukan satu usaha terbaik bagi mengawal aktiviti rasuah dan korupsi ini. Dan boleh kita bayangkan jika PR menjadi kerajaan kelak, pastinya hasrat ini boleh dilaksanakan dengan lebih meluas dan efisien.

Aktiviti rasuah dan korupsi merupakan aktiviti yang merentasi usia, bangsa, budaya dan agama. Ini adalah musuh nombor satu kita, dan mereka yang melakukankanya atau yang membiarkan ianya berleluasa, juga menjadi musuh kita.

Rasuah boleh memesong akidah kita, rasuah boleh menjual maruah kita dan rasuah boleh menyebabkan negara kita hancur.-roketkini.com