Berita

SUHAKAM patut campurtangan isu SUARAM – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyarankan agar SUHAKAM mengambil tindakan tegas menggunakan kuasa dan fungsinya di bawah Akta Suhakam 1999 berhubung campur tangan dan gangguan berterusan kerajaan terhadap NGO hak asasi manusia, SUARAM.

Ujar Kit Siang dalam kenyataan medianya semalam, SUHAKAM boleh menggunakan Seksyen 4(1)(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 yang memberikannya fungsi untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia dan Seksyen 4 (2)(3) memberikannya kuasa untuk mengkaji dan menentusahkan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia.

“Saya juga menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberhentikan serangan UMNO-BN dan menamatkan semua gangguan dan pertuduhan bukan sahaja ke atas Suaram tetapi juga NGO-NGO bebas hak asasi manusia yang lain dan masyarakat sivil seperti BERSIH.” katanya.

Campur tangan dan gangguan berterusan kerajaan terhadap SUARAM menimbulkan tanda tanya kerana pertubuhan itu bergiat aktif menjejak skandal Scorpene di mahkamah Perancis dalam rangka kempennya untuk mendedahkan rasuah kerajaan dalam pembelian kapal selam berbilion-bilion ringgit.

Empat minggu lalu, kerajaan telah memulakan tindakan terhadap SUARAM selepas pertubuhan tersebut mendedahkan maklumat baru daripada dokumen yang disediakan oleh pejabat pendakwa raya Perancis perihal penglibatan pegawai-pegawai di Malaysia dalam satu pertuduhan rasuah.

Selain itu, menurut Amnesty International, usaha giat SUARAM tersebut turut berkemungkinan membuka semula kes pembunuhan Altantuyaa Shaariibuu, seorang model Mongolia yang mempunyai kaitan dengan jual beli kapal selam itu. – Roketkini.com