Berita

Komuniti intelek mesti berani bersuara – Guan Eng

PETALING JAYA, 24 SEPTEMBER: Komuniti intelektual disaran supaya berani menyuarakan pendapat berasaskan ilmu dan kefahaman secara jujur tanpa gentar kepada tekanan dan hukuman pihak penguasa yang mungkin membisukan suara mereka.

Bercakap ketika melancarkan buku ‘Why Listen to The Vice Chancellor’ di Petaling Jaya hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyebut bahawa tidak ada mana-mana kuasa yang boleh menghalang percambahan sesuatu ide.

“Semakin hari kita diperlihatkan dengan kehilangan suara-suara akademik. Suara mereka, jiwa mereka dihilangkan, didiamkan oleh penguasa. Mereka takut rakyat sedar dan bangkit. Buku ini adalah merupakan salah medium yang membawa suara dan jiwa ahli akademik memperjuangkan idea mereka.”

‘Why Listen to the Vice Chancellor’ adalah hasil karya Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi, salah seorang pensyarah senibina di Universiti Teknologi Malaysia yang baru-baru ini telah mengumumkan keahliannya ke dalam DAP.

Menurut Prof Mohamad Tajuddin, ahli akademik mempunyai peluang yang unik kerana mereka mempunyai ruang untuk menasihat dan mendidik masyarakat dalam negara ini dengan pelbagai kepandaian, seperti bidang teknikal, sosial dan kerohanian.

“Ini adalah tanggungjawab ahli akademik. Mereka merupakan ulama dalam bidang mereka. Mereka perlu menyumbang kepada masyarakat dan bukan sekadar mengajar di universiti. Buku ini sedikit sebanyak merupakan garis panduan dan petunjuk yang baik terutamanya bagi pensyarah-pensyarah muda.”

Ditanya adakah buku ini mungkin akan menarik reaksi negatif sesetengah pihak, Prof Tajuddin menjelaskan bahawa beliau perlu jujur dalam membetulkan keadaan.

“Apa kesalahannya? Jadi tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Kita harus bertanggungjawab kepada masyarakat atau setidak-tidaknya jujur terhadap diri sendiri.”

Turut hadir membicarakan buku tersebut dalam wacana ringkas sebelum pelancaran ialah Dr. Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front, dan Profesor Madya Azmi Sharom, pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Malaya.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan naskhah ‘Why Listen to The Vice Chancellor” anda boleh terus menghubungi Pustaka Global Resource di talian 07-5121941 atau 0167683583. – Roketkini.com