Budaya

Cerpen – Protagonis Waktu – Oleh : AM Zhafir

“Apa fungsi aku menjaga dia sewaktu dia sakit, sampai ke nazak. Dan apa fungsi Nenek kepada aku sewaktu aku kecil?”

Nenek

Nenek nazak. Tangan dan kakinya merekot seperti posisi seorang bayi yang pernah kita lihat melalui ultrasound dalam perut seorang ibu. Dia sedang berbaring di atas katil yang diletakkan oleh anak-cucunya di ruang tamu rumahnya, sebuah rumah yang usianya mencecah 100 tahun.

Di sekeliling katilnya, sanak saudara sedang membacakan Yassin, tetapi yang paling dekat dengan Nenek ketika itu ialah seorang perempuan dalam usia lewat 30-an. Tak mengendahkan sanak saudara yang membacakan surah dari Quran itu, si perempuan ini sedang mengusap-usap rambut Nenek, perlahan-lahan, semacam mengurut kepalanya.

Bibirnya didekatkan dengan telinga Nenek. Macam berbisik, yang sebenarnya dari setakat yang aku dengar, apa yang terucap dari bibir perempuan ini adalah sebuah lagu, sebuah dendangan yang sangat merdu, sangat sayu. Mata sang penyanyi ini berkaca-kaca, tetapi tidak pula berair mata, ketika mengusap kepala Nenek.

“Terkenang semasa dulu

hatiku merasa rindu

mungkinkah dapat bertemu

pada mu cahaya mata ku.”

Dalam masa sama kedua mata mereka bertemu, saling pandang memandang langsung mengungkap kembali memori antara mereka lebih 30 tahun dahulu.

Usia si Perempuan waktu itu belum pun menjangkau umur yang sesuai dikirim ke tadika. Cucu sulung ini di bawah jagaan Nenek, malah, satu-satunya antara keluarga mereka yang dijaga Nenek. Waktu itu, awal 1970-an, Nenek baru bercerai, sementara anak-anaknya yang lain jarang-jarang melawat ke rumah.

Kadang-kadang aku terfikir yang rumah Nenek ini cuma sekadar tempat untuk mengasuh anak-anak sahaja memandangkan tiada individu lain selain nenek dan si perempuan ini.

Si perempuan ini diajar mengaji Quran kecil. Garang nenek mengajarnya, rotan kecil sedia di sebelah kanan untuk merotan si perempuan ini jika ada kesalahan dalam membaca. Sama juga garangnya bila mengajar matematik atau mengajar sembahyang. Selain tangisan dan jeritan marah seorang nenek, yang akan memecahkan atmosfera ini cumalah sebuah radio buruk yang seharian memutarkan lagu-lagu klasik era 50-an dan awal 60-an, ketika mereka berdua menikmati kopi panas bercicahkan biskut merry.

Bila si ibu perempuan ini sibuk dan tidak sempat mengutipnya di rumah nenek, ditinggalkan si perempuan ini tidur di rumah nenek. Didodoikan dalam buaian kecil yang digantung di depan TV sambil nenek menyanyikan lagu-lagu kegemarannya. Waktu itulah Nenek akan mendendangkan lagu-lagu kegemarannya buat bekalan mimpi si Perempuan ini.

“Batang selasih permainan budak

daun selasih di makan kuda

bercerai kasih talak tiada

seribu tahun kembali juga.”

Sakit

Tahun 2000. Kesihatan Nenek berubah secara mendadak. Aku tak pasti apa punca perubahan kesihatan nenek. Tak mampu lagi memasak, malah tak boleh lagi hendak menyiram pokok-pokok bunga. Bunga orkid bunga kegemarannya dan bunga-bunga kertas dan kencana semua melayu mengikut jejak Nenek. Anak-anak yang dahulunya jarang menjenguk mula berubah; setiap minggu cucu-cucunya yang lain akan datang melawat, bermesra dan buat lawak-lawak untuk menghiburkan hatinya.

Empat anak Nenek di sebuah restoran cuba mengerah fikiran untuk menyelesaikan permasalahan nenek. Bagaimana nak menjaganya? Bolehkah doktor sembuhkan kesihatannya? Tanya anak bongsu Nenek. Apa kata kita hantar dia ke pusat jagaan? kata anak yang lain.

Beberapa hari kemudian, keempat mereka melawat Nenek, setiap mereka membawa pelbagai jenis buah tangan, kesemuanya coklat-coklat yang pelbagai jenis dan mahal. Nenek gembira sekali hari itu. Dia senyum sepanjang hari sehingga ke malam, malah coklat-coklat mahal itu diletakkan di sebelah bantal tidurnya, bersama tasbih dan Quran. Itu antara hari yang jarang-jarang aku nampak Nenek begitu gembira. Manakan tidak, anak-anaknya datang beramai-ramai menjenguknya membawa bersama cucu-cucunya sekali menghiburkan nenek.

Dari empat anak Nenek, cuma seorang sahaja yang tidak membawa apa-apa. Dia dan isterinya datang dengan beg-beg pakaian besar-besar untuk terus tinggal dan menjaga Nenek. Bertambah lebarlah senyum nenek, akhirnya ada anaknya yang akan menjaganya.

Rupanya tak lama, setakat yang aku ingat, anaknya itu menjaganya, sebab anak-anak Nenek yang lain sudah pun membuat keputusan untuk menghantar nenek ke sebuah pondok di Kepala Batas, Kedah. Menurut anak sulung Nenek, di pondok itu Nenek akan dapat ramai kawan-kawan yang sebaya dengannya, boleh sama-sama tolong menjaga sesama mereka. Tambahan pula pondok-pondok itu berdekatan dengan sebuah surau yang di bina oleh sebuah pertubuhan agama. Bolehlah nenek menambahkan lagi ilmu agamanya, memperbetulkan tajwidnya dan sebagainya.

Pernah juga aku meneman Nenak di pondok itu, bersama komuniti septuagenarian lain. Dua hari bersamanya. Pondok itu binaannya dibahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian untuk nenek yang mana ada sebuah sinki untuk membasuh pinggan mangkuk, dan sebuah bilik air. Tempat tidurnya, sebuah tilam terletak di kiri pintu masuk di ruang tamu. Disebelah tilam nenek, belapikkan kayu nipis sebagai dinding,  dihuni oleh Nek Mah, teman baiknya. Setiap malam sebelum tidur, melalui dinding nipis itulah mereka menyambung sesi sembang mereka yang tak pernah tamat.

Seawal jam 5 pagi loceng akan menggerakkan Nenek. Nenek akan berjalan perlahan sambil meraba dinding ke bilik air untuk mencuci badannya, kemudian menyarungkan kain sembahyang sebelum mengetuk pintu Nek Mah untuk berjalan bersama ke surau.

Aku tak ke surau, tetapi aku ikut sampai ke surau. Antara perbualan mereka berkaitan tajuk tazkirah selepas subuh, makanan apa untuk di makan selepas selesai solat, atau kalau dalam hari-hari tertentu saling bertanya sesama mereka kenapa si polan tidak ke surau hari itu dan rancangan mereka untuk melawat si polan selepas solat subuh.

Selepas solat subuh, nenek dan kawan-kawannya akan bersarapan beramai-ramai, bertukar-tukar pondok. kadang di pondok si A, kadang di pondok si B dan seterusnya.

Nenek aku lihat gembira sentiasa. Dan mungkin oleh sebab itu anak-anaknya pun jarang melawatnya, mungkin sebab tak mahu mengganggu emosinya yang akan meleret-leret membuka memori lama yang akan berakhir dengan air mata.

Anak Minah

Selepas dua hari, aku minta izin dari nenek untuk pergi ‘sambung belajar’. Nenek peluk, dan cium pipi kiri dan kanan aku.

Empat tahun kemudian, selepas pulang dari ‘sambung belajar’, aku terus naik bas menuju ke pondok nenek. Nek Mah, kawan baik Nenek sudah meninggal. Manakala, pondok nenek pula kosong, berkunci. Aku jadi sangat takut, betul, bulu roma aku meremang dan tengkuk semacam dicucuk-cucuk. Hampir-hampir air mata jantan ini mengalir sebelum dihentikan oleh suara seorang lelaki tua. “Tok hang dah tak dok sini dah. Depa bawak dia balik,” katanya. Lega aku. Terus aku salam dan ucapkan terima kasih serentak kepada si tua itu.

Sesampai di rumah nenek, orang ramai mengelilingi katilnya membacakan Yassin. Si Perempuan sedang mendendangkan sebuah nyanyian, sebuah lagu yang mesejnya hanya difaham oleh mereka berdua sahaja.

Sambil dinyanyikan lagu yang pernah Nenek nyanyikan pada si perempuan lebih 30 tahun lalu itu, tangan nenek terangkat perlahan dengan jari penunjuk menunjuk ke arah aku.

“Siapa tu?” soal nenek pada si Perempuan.

“Itu la anak Minah,” balas si Perempuan.

Nenek ketawa perlahan. Senyum dan ketawa dan dalam masa sama mengeluarkan suara-suara yang tersekat-sekat. ‘Anak Minah’ adalah gelaran kepada aku oleh keluarga, sebagai satu usikan waktu aku kecil, nenek menggelar aku Anak Minah sebab aku selalu menanya dia betulkah aku ini anak mak kandung atau sebenarnya aku anak orang lain.

“Sapa tu?” soal nenek lagi.

Tak menjawab, aku hampirinya, genggam erat tangan nenek. Sambil cium kedua belah pipinya, aku jawab, “Saya ni, anak Minah nek.”

Tersenyum, nenek tepuk perlahan pipi aku.

Apa yang terpampang di mata cumalah sebentuk rangka manusia. Kurus, sangat kurus nenek sekarang. Lebih parah apabila si Perempuan beritahu yang Nenek terjatuh di tandas beberapa bulan dahulu. Mujur tiada luka besar, tetapi akibatnya badannya melemah. Sebelum kejadian itu, memori nenek juga kacau bilau. Dia jadi pelupa. Nyanyuk lebih tepat.

Dan kemudian datanglah tiga anaknya. Segera aku di suruh keluar sebab mereka berbincang hal-hal orang tua dan juga sebab aku masih budak, maka tak layak untuk mendengar perbualan orang tua.

Tak cakap banyak, perlahan-lahan aku capai beg dan keluar dari rumah Nenek.

Wasiat

Empat tahun selepas kematian Nenek, melalui si Perempuan, aku diberitahu rumah Nenek sudah dijual, barang-barang kemas, rantai dan emas lesap. Segala wasiat Nenek tidak pernah diketahui ke mana perginya. Dan dia berkata, ahli keluarga yang lain sudah putuskan hubungan dengannya.

Tambah Si Perempuan, Nenek tak pernah pun tinggalkan sebarang wasiat.

“Habis tu, macam mana pula dengan harta-harta Nenek semua ni?”
“Nenek mana ada harta apa-apa. Hang kena tau.”

“Ish pening aku.”

“Cuba hang bayangkan diri hang sebagai seorang emak, yang mana anak-anaknya semua tak boleh pakai. Dari situ, cuba hang fikir apa benda yang paling berharga buat seorang ibu?”

“Anak-anak. Tapi sebab apa dia tak buat wasiat?”

“Penting ka wasiat ni?”

“Penting, untuk elak perebutan harta, dalam budaya kita… dalam keluarga kita.”

“Hang rasa macam tu ka?”

“Ha ha, adoi… Hang tak balik empat tahun dan hang nak sembang pandai dengan aku. Hang nak apa?’” soal Si Perempuan meninggikan suara, sinis.

“Jangan salah faham. Aku tak mau masuk campur langsung dengan keluarga hangpa ni,” balas aku, sengaja aku tinggikan menggunakan perkataan ‘hangpa’.

Si perempuan lantas bangun, masuk ke biliknya dan keluar kembali.

“Nah, dengar MP3 ni. Ini suara nenek.”

Pendek sahaja rekod MP3 suara nenek itu, tetapi cukup untuk buat aku meremang lagi bulu roma.

“Get the idea, boy?” soal si perempuan itu, masih berdiri.

Terus ku habiskan kopi yang sudah sejuk itu, dan meminta pulang.

Dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur, di dalam bas, aku tak dapat mengelak dari mengalirkan air mata apabila terngiang lagi suara Nenek dan anak-anaknya yang aku dengar tadi.

Satu persoalan yang sehingga hari ini aku gagal faham, ialah, kenapa Nenek ‘memisahkan’ si perempuan dari anak-anaknya yang lain? – roketkini.com