Berita

Himpunan Hijau Lestari Pengerang: Kubu UMNO Pecah

Gambar Ihsan Malaysiakini

PENGERANG 30 SEPTEMBER: Kekebalan UMNO-BN Johor tergugat dengan kejayaan Perhimpunan Hijau membantah projek petrokimia RAPID bernilai RM60 yang bakal menyebabkan ribuan penduduk kampung terpaksa berpindah dan kehilangan punca rezeki.

Perhimpunan bantahan besar-besaran julung kalinya yang berlangsung di Pengerang menyaksikan kehadiran seramai 6,000 orang peserta yang terdiri dari pelbagai NGO dan mendapat sokongan padu Pakatan Rakyat.

Menurut Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau, kehadiran luarbiasa yang bukan sahaja dari penduduk Pengerang tetapi sokongan dari rakyat seluruh negara adalah sesuatu yang membanggakan.

“Saya kagum kerana rakyat semakin sedar dan prihatin mengenai masalah ini malah kehadiran masyarakat pelbagai kaum sangat membanggakan.”

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai berharap kesedaran dikalangan rakyat akan semakin meluas kerana ini merupakan projek menekan rakyat malah ia melibatkan unsur kronisme yang ketara.

“Banyak lagi kaedah lain dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negeri. Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa.” ujarnya.

Dalam ucapannya, pengerusi NGO perhimpunan hijau Pengerang, Anis Afida Mohd Azli melahirkan rasa bangga kerana penduduk Pengerang berani bangun menghadiri perhimpunan bagi mempertahan hak mereka.

“Kita tidak bersendirian di sini, kita ada rakan-rakan kita. Kita jangan takut untuk mempertahankan tanah kita.”

Menurut Anis, bantahan ini akan diajukan ke Pejabat Menteri Besar pada 8 Oktober ini.

Perhimpunan ini bermula seawal sekitar 9.00 pagi lagi menyaksikan peserta memakai baju hijau beserta sepanduk sebagai tanda solidariti terhadap penduduk Pengerang.-roketkini.com

Saksikan laporan khas isu Pengerang di http://www.youtube.com/watch?v=fHStbW5UBqk&feature=plcp