Rencana

Siapa lebih meragukan? Oleh : Adil Mat Selamat

Dulu apabila Teo Nie Ching masuk masjid, Utusan Malaysia dan UMNO terpekik terlolong seperti dirasuk hantu kerana marahkan Ahli Parlimen DAP ini. Dikatakan najis la, tak hormat Islamlah, tak sopanlah dan bermacam-macam lagi tuduhan jahat.

Kini apabila Lim Guan Eng bermajlis dengan kumpulan gereja pula, sekali lagi mereka terpekik-pekik seperti orang menurun. Utusan UMNO menuduh DAP nak guna gereja, nak hasut dan nak timbulkan kekacauan. Entah dari lubang mana idea kotor ini terilham hingga sanggup memutar belitkan kenyataan dalam majlis tersebut hingga menjadi keliru dan salah.

Putar belit fakta untuk kelirukan rakyat

Apa salah jika DAP atau mana-mana parti-parti politik mengajak penganut Kristian untuk berbakti kepada negara dengan mempromosi nilai-nilai yang baik? Apa salah berdialog dengan penganut Hindu atau Buddha dan mendorong mereka untuk turut serta melakukan perubahan? Apa berdosa mengajak kaum muslimin menegakkan kebenaran?

Atau, hanya UMNO sahaja yang boleh mengajak semua penganut agama di Malaysia untuk turut membantu melakukan ‘transformasi’ plastiknya itu?

Penghujungnya, apa saja yang DAP buat, tidak dilihat secara objektif, tidak diterima secara objektif sebaliknya ia menjadi fitnah dan caci maki puak Utusan UMNO. Inilah yang terhasil akibat dari dasar politik assabiyah yang tidak melihat budaya demokrasi seperti dialog, forum atau diskusi sebagai sesuatu hal yang sihat dan objektif.

Mesej mereka sangat mudah iaitu mereka mahu rakyat melihat bahawa hanya UMNO sahaja yang boleh beri sumbangan kepada masjid, gereja, kuil atau tokong. Hanya UMNO sahaja boleh berdialog dengan gereja, kuil atau tokong. Hanya UMNO saja boleh bekerjsama dengan agama Islam, Kristian dan lain-lain. Parti lain lebih-lebih lagi DAP jika buat, maka akan difitnah dan dicaci dan paling hina akan dituduh nak menggunakan agama untuk tujuan politik.

UMNO dakwa bela agama tapi tutup mata hal rasuah

Rakyat harus tahu bahawa DAP ini parti sekular dan  tidak berpura-pura seperti UMNO. Parti sekular ini makna dan prinsip asasnya ialah tidak ada kaitan dengan apa jua agama. Parti sekular tidak akan menggunakan mana-mana agama untuk maksud politik macam UMNO yang mengangkat dirinya sebagai hero Islam sedangkan mereka jugalah yang membiar dan membiakkan rasuah.

Kes rasuah NFC, projek MRT, PKFZ, pembelian peralatan ATM hinggalah kepada kes rasuah budak-budak sekolah terus dibiar dan jadi amalan budaya politik UMNO. Inilah ciri-ciri pejuang Islam yang difahami oleh UMNO.

Pada hakikat dan realitinya, DAP menjunjung Islam sebagai agama persekutuan dan meletakkan Islam pada tempatnya. Pada masa yang sama juga menghormati hak mengamalkan agama Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain. Parti sekular seperti DAP menerima nilai-nilai kemanusiaan yang baik yang dianjurkan semua agama; apatah lagi agama Islam.

Tetapi DAP tidak akan sekali-kali menggunakan platform agama untuk menjustifikasikan tindakan politik mereka. Tak macam UMNO yang menukar ‘rasuah’ kepada ‘komisen’ dengan niat untuk menghalalkan perbuatan terkutuk itu. UMNO guna agama untuk wujudkan ketakutan di kalangan umat Islam. Lihatlah bagaimana UMNO di zaman Tun M guna isu tengkolok berlambang salib untuk membunuh kerjaya politik Ku Li.

Siapa lebih meragukan?

Lihatlah bagaimana UMNO cuba menyeludup ide dan mempergunakan agama agar partinya dilihat suci seperti Islam dengan pelbagai simbol yang boleh meragukan akidah umat Islam.

Kita mahu rakyat jelas bahawa kesucian agama, tidak boleh dicemar dengan fitnah untuk meraih sokongan atau undi. Berpolitiklah dengan waras, salah ke? – Roketkini.com