Berita

Anti-korupsi ala Najib Razak hanya cakap kosong

KUALA LUMPUR, 12 OKTOBER: DAP hari ini menyelar kenyataan Perdana Menteri Najib Razak tentang peranan pemimpin yang berada di tampuk kuasa dan autoriti supaya memberi contoh dan mempamerkan “nilai betul” untuk membanteras rasuah dalam ucapannya di mesyuarat agung Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa (IAACA) yang ke-6 baru-baru ini.

Mengulas kenyataan tersebut Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya hari ini mendakwa, pada 22 Ogos 2008, beberapa orang pemimpin DAP Sabah telah meminta Biro Pencegahan Rasuah (pada waktu itu) supaya menyiasat pertuduhan pengedaran wang haram bernilai S$16 juta terhadap Micheal Chia yang merupakan teman rapat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Kertas siasatan kepada Peguam Negara menyatakan RM40 juta yang ditemui bersama ahli perniagaan Sabah itu ketika ditahan kerana cuba menyeludupnya masuk ke Malaysia daripada Hong Kong, merupakan sumbangan politik kepada UMNO Sabah bukannya untuk Ketua Menteri Musa Aman. Dengan itu tiada “unsur rasuah dapat dibuktikan”.

“Empat tahun selepas kejadian itu, rakyat Sabah dan Malaysia ini diminta mempercayai yang RM40 itu bukan untuk “kegunaan peribadi” Musa tetapi untuk UMNO Sabah – bertentangan dengan laporan media ketika Chia memberitahu pihak berkuasa Hong Kong duit yang dibawanya milik Musa,” ujar Kit Siang.

“Di manakah “kebencian semulajadi” Najib terhadap korupsi apabila sebagai Perdana Menteri beliau tidak peduli tentang “wang gelap” RM40 juta yang cuba diseludup masuk ke dalam Malaysia – sama ada untuk Ketua Menteri Sabah ataupun UMNO Sabah?” soal beliau lagi.

Menurut Kit Siang, selepas mengambil pendirian yang nampaknya berakhlak di persidangan IAACA tempoh hari, Perdana Menteri Najib Razak telah sebaliknya menyemarakkan rasa tidak percaya rakyat Sabah dan Malaysia terhadap keikhlasan beliau dalam isu korupsi kerana tidak peduli pun dengan kes penyeludupan wang tersebut. – Roketkini.com