Rencana

Mengembalikan demokrasi tempatan – Oleh Zairil Khir Johari

Petikan ucapan Zairil Khir Johari di Forum Anak Muda dan Demokrasi Tempatan 12 Okt 2013, Komtar, Pulau Pinang.

Tsunami politik yang berlaku pada tahun 2008, bukan sekadar meruntuhkan dominasi politik satu-parti di negara kita, tetapi juga telah menyerlahkan ketempangan sistem federalisme yang sekian lama dipraktikkan.

Negara kita Malaysia, walaupun secara definisi sepatutnya mengamalkan struktur persekutuan atau federasi yang menjamin dan memelihara keutuhan, hak dan autonomi setiap negeri, telah secara beransur-ansur menyerah diri kepada amalan pemusatan kuasa yang dahsyat. Pada hari ini, bukan sahaja kebanyakan kuasa pemutus terletak di tangan kerajaan persekutuan, malah dalam kerajaan persekutuan sendiri kuasa makin lama makin berkisar pada Bangunan Perdana Putra.

Sebagai contoh, belanjawan persekutuan yang dibentangkan baru-baru ini telah menunjukkan peruntukan kewangan sebanyak RM14.6 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM). Angka ini bersamaan dengan 5 peratus daripada jumlah belanjawan persekutuan. Bandingkan pula dengan belanjawan negeri Pulau Pinang yang hanya berjumlah RM740 juta bagi tahun 2012 dan RM1.6 bilion untuk Selangor, walhal Negeri Darul Ehsan ini merupakan negeri paling maju dan besar populasinya di negara kita.

Cuba bayangkan, jumlah keseluruhan belanjawan bagi kesemua 13 negeri adalah hanya lebih kurang 6 peratus belanjawan persekutuan, di mana nisbah ini pernah mencecah 25 peratus pada zaman 90an. Dalam erti kata lain, sementara belanjawan-belanjawan negeri dari segi nisbah semakin mengecil, peruntukan bagi JPM pula dinaikkan berkali-kali ganda sehingga ia sudah hampir sama besar dengan jumlah keseluruhan belanjawan bagi semua negeri di Malaysia.

Di sini, adalah amat jelas bahawa kuasa makin berpusat bukan sahaja di peringkat kerajaan persekutuan tetapi di tangan Perdana Menteri. Apakah logiknya satu jabatan diberi kuasa yang begitu luas, sehingga peranan kementerian-kementerian lain seolah-olah terhakis? Sebagai contoh, hal-ehwal pengangkutan awam tidak lagi dikuasai oleh Kementerian Pengangkutan tetapi oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang berada di bawah naungan JPM. Begitu juga dengan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang juga terletak di bawah JPM dan bukan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Banyak lagi contoh yang boleh diketengahkan. Adakah perlunya JPM menguasai bidang agama melalui JAKIM, apabila agama itu jelas tersenarai sebagai salah satu bidang di bawah kuasa negeri? Soalan yang sama juga boleh ditanya mengenai Permata, iaitu pelaksana dasar asuhan dan didikan awal kanak-kanak kebangsaan. Tidakkah patut usaha ini dilaksanakan melalui Kementerian Pelajaran?

Apa gunanya jemaah menteri jika setiap portfolio yang penting kini diurus terus oleh kementerian maha berkuasa ini?

Desentralisasi mencerminkan masyarakat

Lantas kita berbalik kepada tumpuan kita, iaitu persoalan demokrasi tempatan. Pada hemat saya, demokrasi adalah satu konsep yang tidak wajar dipisahkan daripada persoalan pengagihan kuasa, ataupun desentralisasi.

Ini kerana pada pokoknya, desentralisasi merupakan penjelmaan kebertanggungjawaban tempatan. Di Indonesia umpamanya, proses pendemokrasian yang telah berlaku pasca zaman Suharto telah menampakkan satu proses desentralisasi yang begitu menggemparkan sehingga ia diberi nama “big bang”.

Sepertimana “shock therapy” yang dialami negara-negara Eropah Timur dan Tengah selepas terkandasnya Tabir Besi, begitu jugalah pengalaman wilayah-wilayah Indonesia yang dengan sekelip mata diberi kuasa dan tanggungjawab yang sekian lama telah dipusatkan di Jakarta.

Walaupun pada mulanya agak terkucar-kacir, namun lama-kelamaan terbentuklah suasana saingan yang amat sihat di antara wilayah-wilayah. Dengan peralihan kebertanggungjawaban kepada peringkat tempatan seperti wilayah dan bandar, maka gubernur-gubernur dan walikota-walikota yang dipilih secara langsung oleh penduduk tempatan terpaksa menunjukkan prestasi yang tinggi sekiranya ingin mengekalkan jawatan mereka. Akibatnya, dalam masa satu dekad, proses pendemokrasian dan desentralisasi di Indonesia telah memangkinkan satu model pertumbuhan yang agak dinamis. Jika dahulu kehidupan harian dikawal oleh pemimpin autoritarian, sekarang untung nasib setiap bandar dan wilayah berada di tangan rakyatnya sendiri.

Malangnya, keadaan di Malaysia jauh beza sekali. Walaupun pada suatu ketika dahulu negara kita pernah mengamalkan pilihan raya pada tiga peringkat, tetapi sejak tahun 1965 rakyat telah dinafikan hak untuk memilih wakil kerajaan tempatan.

Kerajaan tempatan dan Pulau Pinang

Saya percaya, kini adalah masa yang tepat untuk kita memikirkan semula keperluan untuk kerajaan tempatan yang lebih demokratik. Dalam pada itu, saya berasa bahawa Pulau Pinang adalah tapak mula yang paling afdal kerana di sinilah terlahir kerajaan tempatan yang pertama di negara kita.

Pada tahun 1801, sebuah badan yang dipanggil Majlis Penilai (Council of Assessors) telah ditubuhkan di Pulau Pinang. Majlis ini diberi peranan untuk merancang dan melaksanakan pembangunan bandar. Hatta diikuti dengan penubuhan majlis perbandaran yang pertama di Malaya pada tahun 1857. Majlis-majlis tempatan yang lain kemudiannya dibentuk di negeri-negeri lain sehingga ke Sarawak dan Borneo Utara.

Bagi melaksanakan proses kerajaan tempatan yang bertanggungjawab, pihak British telah memperkenalkan pelbagai perundangan seperti Ordinan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1950 yang memberi kuasa kepada majlis-majlis tempatan untuk menganjurkan pilihan raya. Selain itu, Ordinan Kerajaan Tempatan 1952 pula memberi kuasa kepada penduduk-penduduk setempat untuk membentuk majlis-majlis tempatan di mana perlu. Pada penghujung era penjajahan British, terdapat sejumlah 289 majlis tempatan di Malaya. Selepas kemerdekaan dicapai pada tahun 1957, kuasa kerajaan tempatan telah diletakkan ke dalam senarai negeri.

Alangkah tetapi, seperti yang telah dinyatakan, demokrasi di peringkat tempatan sudah lama dihapuskan. Untuk pengetahuan ramai, Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang dipilih secara demokratik pada tahun 1960an sebelum penghapusan pilihan raya kerajaan tempatan, merupakan majlis perbandaran yang mempunyai belanjawan paling besar di Malaysia. Pada masa itu, Majlis telah memiliki stesen janakuasa, membina empangan air serta menguruskan perkhidmatan trem elektrik.

Malangnya, kerajaan-kerajaan tempatan zaman ini sudah tidak mampu mencerminkan daya usaha yang begitu dinamis, bukan sahaja kerana kebanyakan bidang kuasa sudah dipusatkan di peringkat kerajaan persekutuan, tetapi juga kerana pemimpin-pemimpin kerajaan tempatan sekarang merupakan lantikan politik semata-mata. Oleh kerana mereka tidak dipilih oleh penduduk tempatan, sudah tentu mereka tidak akan mengamalkan kebertanggungjawaban yang sepatutnya.

Pun begitu, sukacita saya memaklumkan bahawa Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah pada awal tahun ini meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yang sekaligus mewajibkan penganjuran pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang. Pada ketika ini, kesahihan undang-undang tersebut sedang dipertikaikan oleh kerajaan persekutuan, namun sekurang-kurangnya usaha telah dibuat sebagai langkah pertama untuk mengembalikan demokrasi tempatan.

Demokrasi memperkasakan rakyat

Sebenarnya, kerajaan tempatan merupakan institusi yang paling banyak memberi kesan langsung terhadap kehidupan harian kita. Antara tanggungjawab kerajaan tempatan adalah untuk menyediakan dan menguruskan kemudahan-kemudahan awam seperti laluan pejalan kaki, taman dan ruang awam, kompleks sukan dan rekreasi, serta dewan orang ramai. Di samping itu, masalah-masalah harian seperti pungutan sampah dan sistem saliran juga diselenggarakan oleh kerajaan tempatan.

Oleh itu, tidakkah kita mahukan kerajaan tempatan yang bertanggungjawab secara langsung kepada penduduk tempatan?

Akhir sekali, saya berpendapat bahawa demokrasi tempatan juga mampu membuka ruang kepada watak-watak politik yang lebih bersifat tempatan. Ini telah terbukti apabila ramai wakil-wakil yang terpilih dalam pilihan raya kerajaan tempatan dahulu merupakan wakil-wakil bebas atau daripada parti-parti tempatan yang tidak terlibat dalam politik kebangsaan. Secara langsung, keadaan ini juga akan menggalakkan lagi penyertaan orang ramai, khususnya anak muda, dalam kancah politik, terutama sekali mereka yang tidak cenderung kepada politik kepartian atau politik kebangsaan.

Kesimpulannya, demokrasi tempatan hanya akan tercapai melalui proses desentralisasi politik ataupun peralihan kuasa daripada pusat kepada peringkat tempatan. Inilah satu-satunya cara untuk menjamin kepentingan penduduk tempatan. Sudah tentu hasrat rakyat tidak akan tercermin dalam dasar kerajaan tempatan selagi pemimpin-pemimpin tidak dipilih secara demokratik.

Justeru, saya percaya bahawa forum kita pada malam ini merupakan satu langkah yang bernas dalam usaha untuk mengembalikan demokrasi tempatan. Semoga bibit-bibit demokrasi dapat ditanam dalam jiwa-jiwa generasi muda yang hadir di dewan malam ini.

Sekian terima kasih.