Rencana

Gangsterisme belia India: Mencari jalan pulang Oleh: Hafiz Zainuddin

Screenshot filem Hantu Gangster

Kegiatan jenayah yang berkait rapat dengan gangsterisme semakin membarah di negara ini apalagi ia berkait rapat pertubuhan-pertubuhan bawah tanah kongsi gelap. Rompakan bersenjata, samun berkumpulan, pembunuhan, pergaduhan, ugutan, rogol beramai-ramai, pengedaran dadah, kutipan wang secara paksa terhadap peniaga-peniaga dan sebagainya adalah perkara biasa yang kita dengar saban hari.

Sejak melepasi era Botak Chin, Batang Kali; Malaysia kini berhadapan dengan kebangkitan gelombang gangsterisme yang menunjukkan penglibatan tinggi di kalangan belia India negara ini berbanding lain-lain kaum.

Di sebalik perasaan takut, marah dan salah-menyalah terhadap pelaku jenayah dan gangsterisme yang makin berleluasa, kita harus mengetahui perkara pokok yang menjadi persoalan mengapa gangsterisme makin berleluasa dan mengapa pula belia India ini terpanggil untuk menjadi sebahagian dari statistik menakutkan ini.

Langkah sumbang kerajaan

Malaysia telah digemparkan dengan pendedahan statistik jenayah seluruh negara yang semakin meningkat biarpun kerajaan berdolak dalik dengan pendedahan mengejutkan perihal pemalsuan data jenayah. Apapun, kita sebagai rakyat lebih tahu perkara sebenar apabila jiran, sanak-saudara dan teman-teman kita menjadi mangsa keadaan yang berlaku.

Disebabkan polemik jenayah dan kaitannya dengan gangsterisme ini semakin membimbangkan. Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2013 mereka telah memperuntukkan sejumlah  RM272 juta untuk memperbaiki ‘persepsi’ jenayah melalui pengiklanan.

Pun begitu, ia bukanlah satu usaha yang bijak. Kerajaan telah mengorak langkah sumbang apabila gagal melihat punca isu utama berlakunya jenayah.

Jawatankuasa bertindak tangani gangsterisme di kalangan belia India

Sidang meja bulat yang diketuai DAP dalam pembentukan Jawatankuasa Bertindak Menangani Gangsterisme di Kalangan Belia India di parlimen semalam telah menemukan beberapa faktor utama mengapa wabak gangsterisme makin berleluasa dikalangan belia komuniti itu.

Salah satu faktor yang di utarakan adalah melibatkan masalah sosio ekonomi yang telah menyebabkan masyarakat India khususnya seawal peringkat persekolahan lagi tercicir. Ia disebabkan masalah kewangan dan beban tanggungan perbelanjan pendidikan yang tidak mampu dibiayai. Bertambah buruk, data terkini menunjukkan hanya sekitar 1 hingga 2 peratus sahaja pembahagian kek ekonomi negara diperuntukkan khusus terhadap minoriti India negara ini.

Keciciran murid India dalam arus pendidikan nasional

Keciciran pendidikan ditahap sekolah telah menyebabkan golongan miskin India ini terus terpinggir dalam arus pendidikan dan pembangunan nasional. Tiada kelayakan bererti tiada pekerjaan. Penggangguran yang berlaku menyebabkan mereka terjerumus kekancah gangsterisme. Tidak hairanlah apabila Ahli Parlimen Seremban John Fernandez mendedahkan 45 peratus penghuni penjara di Malaysia adalah dari kalangan kaum India.

Ia secara langsung memberi gambaran jelas situasi yang berlaku di Malaysia sepertimana juga kajian yang dijalankan oleh Yayasan Strategik Sosial (YSS). Kajian tersebut menunjukkan sebahagian besar belia India yang terlibat dalam kegiatan jenayah ganas berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin.

Laporan YSS juga menyebut bahawa, “Mereka mempunyai perasaan anti-establishment yang tinggi dan mudah terpengaruh kepada pelbagai anasir yang menjanjikan kemewahan dalam tempoh yang singkat.”

Selain itu, salah seorang anggota majlis sidang meja bulat mendedahkan bahawa wujudnya rasuah (cover up) dikalangan pihak Polis yang melindungi kumpulan-kumpulan ini.

Sebermula penggondolan hutan dan tukar guna tanah estet-estet getah kepada penanaman sawit yang makin giat dibangunkan kerajaan dipertengahan 1970-an. Masyarakat India di Negara ini telah menerima impak besar. Hasilnya, sekitar 80 peratus kalangan mereka mencari tuah dengan berhijrah ke bandar untuk meneruskan kehidupan.

Penghijrahan ini telah mengakibatkan tumbuhnya kawasan-kawasan setinggan yang jelas terlihat di terutamanya Selangor dan Johor berakibatkan kerana ketidakmampuan menampung kos sewa dan sara hidup yang tinggi di bandar. Sebahagian komuniti India ini telah mencatatkan statistik sebagai miskin bandar malah paling memeritkan sebahagiannya pula hidup di bawah paras kemiskinan.

Mencari keadilan sosio ekonomi

DEB tidak harus dipersalahkan disebalik kewujudan jurang kemiskinan yang ketara dikalangan masyarakat India kerana yang harus dipersalahkan adalah mekanisme perlaksanaan dasar tersebut yang tempang oleh kerajaan BN.

Disebalik laungan  ‘Hidup Melayu’ oleh UMNO-BN, fakta menunjukkan sasaran 30 peratus DEB pemilikan ekuiti oleh bumiputera amat memeranjatkan. Sehingga tahun 2008, golongan Bumiputera cuma memiliki ekuiti sebanyak 19.5 peratus sejak pelancaran dasar tersebut pada 1970.

Persoalan utama ialah, mengapa setelah lebih setengah abad kemerdekaan tercapai, kerajaan BN masih gagal mencapai objektif DEB?

BN gagal urus ekonomi dan kemakmuran negara

Jumlah hutang Negara yang semakin tinggi dan kadar perolehan hasil kerajaan yang memalukan sekadar 0.7 peratus antara tahun 2012 dan 2011 terburuk sejak  1999 sebenarnya telah pun memanifestasikan bahawa Malaysia dibawah kerajaan persekutuan BN gagalmengurus tadbir ekonomi dan negara dengan baik.

Ini adalah bukti kukuh Perdana Menteri Datuk Sei Najib Razak gagal memacu ekonomi negara dengan telus dan mantap disamping beliau sendiri terpalit dengan skandal kontroversi rasuah pembelian kapal selam Scorpene yang mencuri tumpuan dunia.

Kegagalan DEB dan porak-peranda urus tadbir yang terpalit dengan barah rasuah di Malaysia tidak menjadi keutamaan untuk diselesaikan malah kerajaan meneruskan agenda mereka dengan ‘kaki yang patah.’ Musibahnya, jurang pembahagian kemakmuran negara menjadi tidak seimbang.

Masakan tidak, biarpun BN beralasan meneruskan DEB untuk terus memperbaiki taraf sosio ekonomi dan pendidikan Bumiputera, kerajaan BN terus terjerumus dalam wabak kronisme yang kritikal pada masa yang sama menjinjing rekod perlaksanaannya yang penuh tandatanya. Sedar atau tidak, ia mewujudkan gejala monopoli dalam iklim ekonomi Malaysia tanpa mengira samada kroni tersebut Bumiputera ataupun bukan.

“Api dalam sekam”

Isu gangsterisme di kalangan belia India bukanlah perkara terpencil yang remeh. Umpama api dalam sekam, ia bakal memberi impak negatif terhadap keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, dasar ekonomi dan urus tadbir Malaysia.

Di sebalik berleluasanya gangsterisme, kita dapat merumuskan bahawa isu sebenarnya adalah soal keadilan dalam perlaksanaan dasar kerajaan. Oleh kerana itu, dasar yang diperjuangkan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 menitikberatkan soal keadilan sosio ekonomi dengan memberi tumpuan lebih kepada menurunkan kos sara hidup.

Dengan rekod yang sangat buruk megurus tadbir negara, Kerajaan Persekutuan BN makin tersepit disebalik pelbagai kelemahan, kelompongan dan kegagalan perlaksanaan dasar. Musuh utama negara sekarang bukanlah gangsterisme tetapi kedangkalan pemerintah dalam memenuhi keperluan dan keperitan rakyat. – Roketkini.com