Berita

Sempena ulangtahun ke 25 Ops. Lalang, DAP seru ubah kerajaan

KUALA LUMPUR 28 OKTOBER: Ibu kepada kemusnahan terhadap keruntuhan sistem demokrasi negara akibat Operasi Lalang 25 tahun lalu perlu dirungkai semula melalui pertukaran kerajaan diperingkat nasional.

Justeru, sempena ulang tahun sejarah hitam negara pada tersebut, DAP menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk membuat anjakan pemikiran seterusnya perubahan yang diterjemah melalui peti undi secara demokratik.

“Operasi Lalang ini telah menyebabkan perubahan besar kepada lanskap politik negara, meletakkan cabang kehakiman dan legislatif di dalam cengkaman seorang Perdana Menteri waktu itu.” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya.

Peristiwa 27 Oktober 1987 itu bukan sahaja melibatkan penahanan 106 rakyat Malaysia tetapi juga serangan besar-besaran ke atas kebebasan akhbar dengan penutupan tiga suratkhabar termasuklah menyebabkan insiden pemecatan Ketua Hakim Negara dan dua Hakim Mahkamah Agung yang akhirnya melibatkan beberapa penggubalan undang-undang yang tidak demokratik.

Jelas Kit Siang yang juga Ajli Parlimen Ipoh Timor, Pertukaran kerajaan di peringkat nasional bakal mendaulatkan semula sistem kehakiman yang benar-benar bebas dan adil, meleraikan rampasan Eksekutif terhadap kuasa Parlimen, membebaskan media dari kongkongan politik dan memberikan semula hak fundemental kebebasan bersuara, ekspresi dan bermaklumat kepada rakyat.

“Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah berjanji melalui Program Transformasi Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik dunia, Malaysia masih jauh ketinggalan untuk mencapai hasrat tersebut”.

Antara buktinya, UMNO-BN tidak pernah menyatakan secara terbuka komitmen mereka memastikan peralihan kuasa secara aman dan lancar untuk menerima apa saja keputusan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

“Oleh yang demikian, pertukaran kerajaan di peringkat nasional buat julung kalinya amat perlu samada melalui mekanisme semak dan imbang yang wajar untuk menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan memulihkan kesaksamaan, kemandirian dan profesionalisme semua institusi negara.” ujar beliau.-roketkini.com