Berita

Cermin kereta petugas DAP dipecahkan

SEREMBAN, 5 NOVEMBER: Mungkin berang dengan kehadiran puluhan ribu penyokong Pakatan Rakyat di Taman Seremban Jaya, Sabtu lalu, ada pihak bertindak merosakkan kereta peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat, termasuk sebuah kereta milik petugas Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.

Pembantu Editor Roketkini.com itu menyedari cermin belakang kereta Proton Saga miliknya retak seribu dipercayai akibat hentakan benda tumpul mungkin penukul ketika mahu meninggalkan acara berkenaan.

“Ini petanda baik bahawa ada pihak yang sudah tidak senang hati dengan kebangkitan rakyat menentang politik jahat UMNO dan Barisan Nasional,” katanya yang tidak mahu namanya disiarkan.

Menurut beliau, politik ganas yang dibawa UMNO tidak akan menjanjikan apa-apa selain tindakan reaksioner rakyat yang bakal menumbangkan UMNO daripada terus  memerintah Negeri Sembilan.

Kereta yang diletak di tepi jalan bersama ribuan kereta pengunjung yang hadir di perhimpunan itu menjadi sasaran mungkin kerana kenderaan itu didaftarkan di Pulau Pinang, negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

“Mungkin mereka tidak suka orang negeri lain datang mempengaruhi penduduk setempat. Mungkin dia suka penduduk setempat dibodohkan berterusan. Mungkin mereka yang bertanggungjawab merosakkan kereta saya ini akalnya letak di lutut. Ada banyak kemungkinan,” katanya berseloroh.

Selain kereta petugas DAP itu, sebuah lagi kereta Toyota Estima milik peserta himpunan turut menerima nasib yang sama, malah lebih teruk lagi iaitu cermin belakang kereta itu pecah sehingga hancur berkecai.

Estima yang menggunakan nombor plat Kedah itu juga menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab itu mungkin atas alasan yang sama, dan dipercayai mesej yang cuba disampaikan ialah supaya orang luar tidak mencampuri urusan politik di Negeri Sembilan.

Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya, Sabtu lalu menyaksikan puluhan ribu rakyat sekitar Seremban dan Senawang membanjiri padang di taman itu walaupun hujan lebat, yang menggambarkan Negeri Sembilan juga sedang dilanda angin perubahan yang amat kencang. – Roketkini.com