Berita

Pulau Pinang utamakan sektor perumahan rakyat

GEORGE TOWN, 5 NOVEMBER: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi Skim Perumahan Mampu Milik dengan keluasan 200 ekar membabitkan pembinaan 11,800 unit rumah di Batu Kawan dalam fasa pertama PDC.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2012, telah berkata, dalam Fasa kedua pula, kerajaan negeri dengan kerjasama MPPP dan MPSP menyediakan tanah seluas 49 ekar di empat daerah iaitu 29 ekar di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (tiga ekar), Daerah Timur Laut (11 ekar) dan di Daerah Barat Daya (enam ekar) membabitkan pembinaan 6,000 unit rumah mampu milik.

Pelaksanaan projek itu sekaligus menafikan dakwaan dan tomahan UMNO-BN sebelum ini yang mendakwa Kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Rakyat meminggirkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah terutamanya kalangan masyarakat Melayu di negeri itu.

“Tanggungjawab untuk menyediakan perumahan mampu milik yang selamat, kondusif dan selesa adalah menjadi agenda utama Kerajaan Negeri,”

Guan Eng yang juga ADUN Air Putih berkata, bagi memastikan rumah mampu milik itu paling berkualiti di Malaysia, kerajaan negeri sudah melantik syarikat HDB Singapura untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

Sewa RM100 bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR)

Bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) pula, menurut Guan Eng, kerajaan negeri hanya mengenakan sewa RM100 sebulan termasuk kos penyelenggaraan.

Beliau berkata, sehingga kini hanya 433 unit rumah di PPR Desa Wawasan, Sungai Rambai dan Bukit Mertajam sudah diduduki manakala 479 unit lagi masih kosong.

“Kerajaan Negeri baru-baru ini sudah menemuduga 39 pemohon yang diterima untuk menyewa di PPR Desa Wawasan,

“Hanya 22 pemohon yang hadir untuk temuduga dan 17 daripadanya berjaya dan akan ditawarkan unit rumah untuk disewa.

Guan Eng juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM195,000.00 untuk melaksanakan kerja pembaikan dan pemasangan jeriji bagi 30 unit rumah terbabit.

Belanjawan Pulau Pinang 2013 bertemakan Agenda Ekonomi Saksama (AES) bermatlamat menjadi negeri pertama di negara ini membasmi kemiskinan.-roketkini.com