Berita

“Anak Patung Porselin” Yang Tidak Mungkin Pecah

Gambar Ehsan guangming.com.my

ALOR SETAR, 7 NOVEMBER: Lee Zhi Peng, 12, kanak-kanak yang mendapatkan julukan “anak patung porselin” sangat berminat dengan politik Malaysia dan menjadikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai idolanya.

Sekali pandang, Zhi Peng sama seperti kanak-kanak lain, namun jika dilihat secara lebih dekat, dia adalah kanak-kanak yang istimewa.

Beliau dikesan menghidap penyakit Osteopsatirosis, sejenis penyakit keturunan membabitkan kerapuhan tulang yang amat teruk ketika berusia lapan bulan akibat terjatuh dan tulang patah teruk.

Zhi Peng, seorang kanak-kanak yang gagah ini bukanlah satu yang luar biasa tetapi beliau sudah mengikuti perkembangan politik Setiausaha Agung DAP itu ketika darjah satu lagi dan berhasrat untuk bertemu mengucapkan “selamat berjaya” kepada Guan Eng satu hari nanti.

Khamis lalu, Zhi Peng dianugerahkan ‘Semangat Terbaik’ ketika majlis tamat belajar Tahun Enam SJK (C) Pumpong, Alor Setar.

Zhi Peng bercita-cita menjadi seorang peguam sejak berusia sembilan tahun sebab itu menjadikan Guan Eng sumber inspirasinya kerana bertekad mahu menegakkan keadilan dan membantu mereka yang dalam kesusahan.

Zhi Peng yang ditemani ibu bapanya, Lee Qi Chang dan Zhou Mei Xuan untuk ditemuramah menunjukkan kematangan yang melangkaui usia dan semangatnya terhadap politik amat jelas sukar ditemui di kalangan kanak-kanak seusianya.

Dia setiap hari mengikuti perkembangan politik semasa terutama memberi tumpuan yang lebih kepada berita berkaitan Lim Guan Eng.

“Saya memang kagum dengan keberanian dan pengorbanan yang Guan Eng lakukan demi membela nasib keadilan rakyat,” katanya.

Zhi Peng juga memuji pentadbiran Lim Guan Eng di Pulau Pinang dan berasa sedih apabila setiap kali mendengar berita negatif dan pembohongan mengenai Ketua Menteri itu dilaporkan  media.

Namun setakat ini, Zhi Peng belum berpeluang untuk berjumpa dengan Lim Guan Eng.

Ramai yang mengaitkan osteopsatirosis dengan ‘kelemahan’ atau ‘rapuh’, akan tetapi Zhi Peng adalah pejuang sebenar yang tidak akan mengalah atau membiarkan dirinya terus lemah.

Dia sentiasa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, mengekalkan purata markah 80 peratus sepanjang enam tahun di sekolah rendah, kecuali pada Tahun Empat, dia hanya memperoleh 79 peratus.

Ketabahan dan kerja keras telah melayakkannya untuk menerima Anugerah Semangat Terbaik di sekolah.

Zhi Peng menghabiskan sekurang-kurangnya dua jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja rumah, selain belajar, dia juga suka mendengar lagu mandarin, menonton TV dan membaca komik.

“Anak patung porselin” yang gagah ini mendapat 5A dan 2B dalam peperiksaan percubaan UPSR.

Kisah Zhi Peng ini dipetik daripada http://www.guangming.com.my/node/150405?tid=3