Rencana

Siapa peduli Obama menang? Oleh Izmil Amri

SEPERTI kebanyakan orang yang peduli politik antarabangsa, saya dan teman-teman mengikuti perkembangan pilihanraya presiden Amerika Syarikat yang menyaksikan persaingan sengit antara penyandangnya, Barack Obama dan lawan politiknya, Mitt Romney.

Dan seperti kebiasaannya, perkembangan yang saya ikuti ini akan diulas melalui laman sosial Twitter dan Facebook, sambil membaca analisis teman-teman lain yang ikut serta merasakan kecut perut pergolakan politik demi kursi kekuasaan Rumah Putih. Ramai daripadanya yang lantang terus mengusung Obama untuk jawatan nombor wahid Amerika Syarikat itu.

Dan nyata usaha dan keazaman mereka itu tidak dihampakan pengundi Amerika yang memberi kemenangan kepada Obama. Sekitar jam 12:20 tengah hari waktu Malaysia, garis masa Twitter bergerak laju dengan kicauan kemenangan Obama, meski masih menanti keputusan daripada Alaska dan Nevada.

Akaun twitter rasmi penyandang jawatan presiden itu lantas menyiarkan fotonya berpelukan dengan sang isteri, dengan ayat berbunyi “Four more years” (empat tahun lagi) menandakan tempoh lanjutan amanah rakyat Amerika kepada presiden kulit hitam pertama negara itu untuk mengotakan janjinya.

Saya tidak mahu bercerita mengenai sistem pilihanraya presiden Amerika yang agak rumit untuk difahami. Demikian sahaja cukup untuk meyakinkan kita bahawa tidak akan ada sistem rumit untuk pilihanraya di Malaysia dalam masa terdekat. Di sana tidak ada sistem pangkah kertas guna pensel dan buang undi dalam kotak kaca. Mereka ada banyak cara mengundi. Dan ia rumit tahap tinggi untuk mentaliti umat 1Malaysia.

Peduli politik, politik peduli

Dalam keterujaan ramai orang menyambut baik pengekalan Obama di Rumah Putih, ada juga suara di alam sosial yang bertanya soalan seperti ‘Bincangkan kesan pilihanraya presiden Amerika Syarikat terhadap ekonomi Malaysia’. Ini soalan serius, tetapi kita tahu bahawa niatnya menyindir. Lebih teruk lagi adalah kicauan di twitter yang berbunyi seperti ‘Ramainya orang Amerika di Malaysia’ atau ‘Semua orang nak jadi penganalisa hari ini’.

Pertanyaan begini di era globalisasi memperlihatkan betapa manusia kurang peduli terhadap perkembangan dunia meski mempunyai segala macam alatan canggih untuk mendapat akses terhadap maklumat. Ini adalah satu kerugian yang amat besar. Dan ini barangkali terjadi kerana kesilapan keluarga yang mendidik anak supaya tidak peduli politik. Atau situasi yang sewaktu dengannya.

Kepedulian politik itu penting. Sebagai rakyat yang diperintah orang yang tidak mendapat wahyu dari langit malah daripada amanah kita sendiri, tidak boleh lari daripada kepedulian terhadap politik. Justeru apabila orang lain peduli politik dan kita memperlekehkan, maka terlihat jelas acuan mental yang membentuk pemikiran kurang peduli yang pastinya mudah untuk ditolak tarik oleh pemerintah.

Tidak saya tidak marah pihak yang mengejek kepedulian politik saya dan teman-teman. Saya pasti mereka yang mengejek-ejek kami itu meyakini bahawa nasi lemak yang menjadi subjek komposisi gambar Instagramnya jauh lebih penting daripada pilihanraya presiden kuasa besar dunia. Maka tidak mengapa.

Cuma saya ada sedikit masalah dengan kesedaran politik umat 1Malaysia ini yang begitu cetek dan selesa dengan segala kecacatan demokrasi yang berlaku di negara ini sehingga tidak pun rasa tertarik dengan demokrasi dengan model yang lebih baik yang ditonjolkan oleh negara yang sudah jauh lebih lama mengamalkannya, dalam hal ini, Amerika Syarikat.

Anda tak peduli politik, tetapi politik peduli anda

Di kala Amerika berdepan masa depannya di tangan Obama untuk sepenggal lagi, sambil diberatkan kemelut ekonomi terburuk dalam sejarahnya, Malaysia mempunyai rakyat yang tidak kisah sangat dengan dunia. Asal cukup makan pakai, dan ada iPad; lengkaplah rukun untuk hidup di Malaysia.

Di Amerika juga ada iPad. Malah lebih daripada itu. Namun di Amerika kesannya terhadap umum sudah terlalu melarat untuk dibiarkan dan dibuat tidak peduli. Malaysia seharusnya tidak perlu tunggu sampai tahap itu bagi mencetuskan tindakan dan aktivisme anak muda melawan penipuan dan kezaliman pemerintah.

Saya ketemu seorang kawan kaki ziarah disko beberapa bulan sudah dan menyuarakan hasrat ulungnya apabila Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya nanti ialah supaya sekalian anak menteri tidak lagi mendapat layanan VIP di kelan-kelab malam. Ini bagi saya sesuatu yang di luar kelaziman kerana saya tidak pergi ‘clubbing’ dan itukah dia balas dendam yang sesetengah pihak mahukan?

“Aku nak tengok anak-anak menteri beratur di luar kelab,” kata Syafiq (bukan nama sebenar) seorang anak muda yang peduli politik namun meletakkan tafsiran politiknya itu dalam lingkungan berbeza.

Itu juga politik. Kuasa dan pengaruh politiklah yang membuatkan anak menteri dapat layanan istimewa di kelab-kelab malam dan membiarkan anak orang lain berusaha mencari jalan untuk masuk tanpa perlu membayar apa-apa. Jadi bohonglah kalau anak muda hari ini merasakan dirinya tidak terkesan dengan politik.

Di Amerika, terdapat sebuah pindaan perlembagaan yang menyebabkan negeri-negerinya dilarang meletakkan had umur layak mengundi lebih daripada 18 tahun. Jadi tidak boleh menafikan hak anak muda 18 tahun usia daripada mengundi. Malah ada yang meletakkan usia 17 sebagai umur layak mengundi.

Sekiranya peraturan yang sama dipakai di Malaysia hari ini, saya bimbang peratusan keluar mengundi akan jatuh mendadak disebabkan kadar kepedulian politik anak muda Malaysia yang begitu mengecewakan. Cumanya di Malaysia ini kalau peduli dan aktif, peduli bersungguh-sungguh. Malah mahu ikut bertanding pilihanraya.

Malangnya kalau tidak peduli pun, bersungguh-sungguh juga. Bukan sedikit anak muda yang apabila ditanya siapa Perdana Menteri Malaysia sekarang akan pantas menjawab “Dr Mahathir” dengan wajah penuh yakin dan selamba.

Kelompok yang sama juga barangkali yang hari ini buat tak hairan dengan perkembangan politik Amerika Syarikat. Bahkan merasa tidak senang pula dengan kepedulian orang lain. Dan kemudian menyumpah seranah apabila menerima surat saman AES, atau tuntutan bayar semula pinjaman PTPTN. Ini paradoks yang entah apa ubatnya.

Jadi kesimpulannya pendidikan politik itu penting. Bukan setakat kerja ambil makanan dengan Instagram sahaja. – Roketkini.com