Berita

Guan Eng nafi fitnah pembangkang mengenai pejualan tanah di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 10 NOVEMBER: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyangkal tuduhan pembangkang UMNO/BN di negeri itu berhubung beberapa perkara termasuk mendakwa kerajaan negeri bergantung sepenuhnya kepada hasil berkaitan tanah dan penjualan tanah.

Katanya, perkara yang dibangkitkan pembangkang itu tidak benar kerana kerajaan negeri hanya menjual 105 ekar tanah secara tender terbuka yang diperolehi RM1.1 bilion.

“Tindakan itu adalah lebih baik ketika Barisan Nasional (BN) memerintah yang menjual 4,000 ekar tanah hanya mendapat kurang separuh daripada jumlah itu. Bayangkan berapa banyak kerajaan negeri rugi kerana kerajaan sebelum ini tidak lakukan penjualan secara tender terbuka,” katanya ketika menggulung pernbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, hari ini.

Mengenai dakwaan kerugian RM2.4 bilion hasil perjualan tanah di Bayan Mutiara yang dibangkitkan ADUN Teluk Bahang, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, ini juga satu fitnah kerana penjualan itu juga menguntungkan kerana memperolehi lebihan RM697 juta hingga RM782 juta berbanding kadar JPPH hanya antara RM65 hingga RM84 sekaki persegi.

Katanya, penjualan tanah itu memberi pendapatan sebanyak RM1.07 billion kepada Kerajaan Negeri dan RM500 juta akan diguna pembangunan perumahan mampu milik yang kini sedang dirancang dan diusahakan.

Manakala soalan yang dibangkitkan ADUN Seberang Jaya mengenai status Pemilikan Tanah Taman Manggis, Guan Eng berkata, status tanah itu adalah masih hak milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 17 Oktober 2008 telah mengambil maklum bahawa sebuah syarikat swasta berminat untuk menggunakan tanah kosong bersebelahan flat di Jalan Zainal Abidin untuk pembinaan sebuah hospital swasta.

Bagaimanapun, Ketua Menteri pada 21 Oktober 2008 mengarahkan agar tanah itu dijual kepada syarikat yang berminat secara tender terbuka bagi tujuan pembinaan sebuah hospital swasta dengan sekurang- kurangnya 130 tempat letak kereta.

Pada 26 Februari 2009, satu mesyuarat teknikal yang dipengerusikan Pengarah UPEN diadakan bagi membincangkan mengenai cadangan pembinaan Pusat Perubatan Pakar itu dan diputuskan agar UPEN menyediakan tawaran tender bagi cadangan pembinaan Pusat Perubatan Pakar di atas Lot 305, 306, 313 dan 314 Jalan Burma, Pulau Pinang untuk ditawarkan secara tender terbuka. – Roketkini.com