Berita

Perutusan Deepavali, Pulau Pinang tetap garis kemiskinan RM770 sebulan pada 2013

GEORGE TOWN, 12 NOVEMBER: Hasil daripada pentadbiran yang telus dan akauntabel, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menghapuskan kemiskinan di negeri itu mulai tahun 2013 dengan menetapkan pendapatan minimum setiap keluarga sebanyak RM770 sebulan.

Penetapan pendapatan RM770 sebulan ini berdasarkan kajian sebuah universiti tempatan yang menetapkan garis kemiskinan pada kadar RM763 sebulan di Semenanjung Malaysia berbeza dengan takrif kemiskinan kerajaan BN iaitu RM720 sebulan.

Dalam perutusan sempena Hari Deepavali yang akan disambut penganut agama Hindu di seluruh negara esok (13 November), Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, garis kemiskinan RM720 itu terlalu rendah dan ketinggalan zaman.

“Agenda Ekonomi Saksama (AES) Pakatan Rakyat yang bakal menghapuskan kemiskinan di Pulau Pinang tahun depan akan memastikan semua isi rumah mempunyai pendapatan minima RM770 sebulan dan memanfaatkan semua termasuk golongan miskin di kalangan masyarakat India,”

Katanya, Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia berjaya membasmi miskin tegar (isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM400 sebulan) pada 2009 dan mensasar untuk menghapuskan kemiskinan sama sekali menjelang 2015.

Kejayaan Pulau Pinang mengorak langkah mentransformasi ekonomi negeri dan rakyat itu, menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP terbukti berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.

“Pulau Pinang juga berjaya mengurangkan hutang sebanyak 95 peratus dan mencatatkan lebihan bajet paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang dengan RM138 juta, iaitu peningkatan 312 peratus daripada lebihan bajet 2010 iaitu RM33 juta,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan Pulau Pinang mencatatkan lebihan bajet setiap tahun sejak 2008 adalah hasil daripada urustadbir CAT (cekap, akauntabiliti dan telus).

“Urustadbir CAT tertumpu kepada pengurangan kos dan pemaksimuman hasil tanpa mengorbankan kualiti melalui tender terbuka, mematuhi undang-undang, memilih pihak yang cekap dan layak serta mengamalkan mekanisme audit dan kawalan dalaman yang ketat,” ujarnya.

Justeru Guan Eng berharap agar keputusan kerajaan negeri menetapkan pendapatan minimum RM770 sebulan akan menyemarakkan cahaya ke atas golongan miskin dengan menjadi negeri pertama di Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan pada 2013.

“Saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali dan selamat menyambut Pesta Cahaya kepada semua warga Hindu di Pulau Pinang dan Malaysia.” Ujar beliau.-Roketkini.com