Berita

Belanjawan Negeri Selangor 2013 cermin urustadbir mantap PR

SHAH ALAM, 19 NOVEMBER: Hasil urustadbir yang cemerlang, belanjawan Kerajaan Negeri Selangor bagi 2013 memperuntukan sebanyak RM1.63 billion dengan 61 peratus untuk  perbelanjaan mengurus dan 39 peratus perbelanjaan pembangunan.

Bertemakan “Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia”, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sejak lima tahun mengambil alih pentadbiran negeri daripada BN, kerajaan PR berjaya membentangkan belanjawan secara berimbang.

“Ini membuktikan pengurusan kewangan yang baik dan teratur,” ujarnya

Meskipun peruntukan mengurus menurun 0.3 peratus berbanding RM1 bilion yang diperuntukan pada 2012, Khalid berkata, kerajaan negeri berjaya meningkatkan peruntukan pembangunan lima peratus berbanding Belanjawan 2012.

“Peruntukan mengurus menurun adalah disebabkan bayaran balik pinjaman Persekutuan yang dibayar secara komited dan ini membuktikan kerajaan negeri peka dan cekap menguruskan hutang sejak 2008,” katanya.

Malah ujar beliau, Selangor mencatat antara penyumbang terbesar ekonomi Malaysia dengan mencatatkan 20 peratus daripada keseluruhan pertumbuhan ekonomi negara. Manakala pertumbuhan ekonomi negeri Selangor tahun ini pula mencatatkan 6.1 peratus berbanding kerajaan Persekutuan BN sebanyak 5.4 peratus.

Menempelak dakwaan sesetengah pihak yang berkata peningkatan rizab negeri disebabkan kerajaan negeri tidak membelanjakan wang, jelas Khalid yang juga ADUN Ijok berkata, ini adalah dakwaan salah dan tidak berasas.

“Di bawah strategi Melestarikan Pembangunan Inovasi dan Moden, kerajaan Selangor berjaya menjimatkan kos hampir RM81 juta setahun hasil pengambilalihan pengurusan sisa pepejal.

Ujar Khalid, hasil penjimatan ini disalurkan kepada rakyat melalui Skim Pemberian 25 peratus rebet cukai pintu bagi pemilik dan mereka yang tinggal di rumah bertingkat kos rendah seluruh negeri.

“Kerajaan Selangor meningkatkan rizab negeri disebabkan ketelusan urus tadbir. Sepanjang 2012, kerajaan negeri menjimatkan sebanyak RM102.2 juta atau 18.61 peratus hasil tender terbuka membabitkan 63 projek berjumlah RM446,941,107.42 berbanding anggaran awal kos projek sebelum ini sebanyak hampir RM549,206,460.75.

“Kedua-dua kejayaan ini adalah hasil konsep ’value for money’ yang dipraktikkan kerajaan negeri PR sejak empat tahun lalu.” ujarnya.

Dalam penggulungan perbentangan belanjawan ini, Khalid berkata, kerajaan negeri menekankan soal ni;lai, keadilan, kepedulian rakyat dan pembangunan untuk semua.

“Perlaksanaan ini mengatasi kepentingan individu, melangkau batasan kaum, warna kulit, agama,ideology politik  sejajar dengan hasrat merakyatkan ekonomi negeri,” katanya.-roketkini.com