Berita

Penjelasan MPPP isu roboh struktur rumah Sungai Gelugor jawab tomahan

Gambar Ehsan - msnpenang.wordpress.com

GEORGE TOWN, 23 NOV: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menafi dakwaan bahawa tindakannya meroboh struktur rumah seorang warga emas di Sungai Gelugor tanpa memberi amaran.

Yang Dipertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail, berkata perkara itu diadu beberapa kali oleh jiran warga emas itu sendiri, Encik Zulkifly Mohamad sejak 2007.

Katanya, aduan itu kemudiannya diperiksa dan dalam siasatan yang dijalankan MPPP mendapati sambungan struktur bangunan dua tingkat itu dibina hingga ke sempadan lot rumah pengadu.

Patahiyah berkata, beberapa notis dikeluarkan termasuk pada 1 dan 11 Oktober 2007, mengikut Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan memberi tempoh  selama 30 hari kepada pemilik untuk menghentikan kerja pembinaan struktur itu.

“Bagaimanapun pemilik premis itu masih engkar dan tidak mematuhi amaran itu sehingga kes itu dibawa ke mahkamah pada 21 Julai 2008 kerana kesalahan mengikut Seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan.

“Pemilik berkenaan mengaku bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM2,000,” katanya.

Katanya, pada 19 Januari 2009 MPPP sudah memberi nasihat kepada pemilik premis berkenaan supaya mematuhi amaran dikeluarkan.

“Rayuan pemilik rumah itu untuk mematuhi notis itu dalam tempoh tiga bulan mulai 12 Mac 2009 dipertimbangkan, namun sehingga kini pemilik tidak mengemukakan pelan bangunan kepada majlis,” katanya

Patahiyah berkata, dalam masa yang sama MPPP terus menerima aduan daripada Zulkifly dan yang terakhir pada 12 Julai lalu yang tidak berpuas hati kerana tindakan tidak dikenakan. – Roketkini.com