Berita

Ekonomi Cemerlang: Negeri BN Gagal Saingi Selangor

SHAH ALAM, 26 NOVEMBER: Selangor sekali lagi menunjukkan kemajuan memberangsangkan daripada negeri yang diperintah Barisan Nasional (BN) apabila mencatatkan nilai pelaburan tertinggi lebih RM44.9 bilion daripada hampir 1,500 projek perkilangan.

Bukan itu sahaja, malah negeri terkaya ini juga mewujudkan hampir 14,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Selangor untuk tahun ini sahaja.

Dalam ucapan penggulungannya, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok berkata, kemasukan pelaburan itu jelas membuktikan kepercayaan pelabur asing dan tempatan terhadap urustadbir cemerlang Selangor sejak 2008.

“Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 170 projek perkilangan diluluskan di Negeri Selangor dengan nilai pelaburan RM6.903 bilion.

“Ini bermakna nilai pelaburan sebanyak RM6.903 bilion di Selangor oleh MITI-MIDA ialah 23.18 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan di Malaysia iaitu sebanyak RM29.786 bilion,” katanya.

Tambahnya, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding negeri lain diikuti Sabah dengan nilai pelaburan RM4.84 bilion membabitkan 22 projek dan Sarawak sebanyak RM4.635 bilion dengan 20 projek.

“Daripada jumlah itu menunjukkan pelabur tempatan memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pelaburan di Selangor dan masih berkeyakinan dengan senario pelaburan semasa dan dasar pelaburan yang berkonsepkan mesra pelabur yang diamalkan Kerajaan Pakatan Rakyat,” kata Teresa.

Daripada hasil negeri yang memberangsangkan ini ia membolehkan kerajaan Negeri Selangor melaksanakan Dasar Merakyatkan Ekonomi negeri yang memberi banyak kemudahan dan imbuhan secara berterusan seperti skim air percuma untuk rakyat, TAWAS, hadiah anak masuk universiti, Skim bantuan warga emas dan sebagainya.-Roketkini.com