Berita

Ucapan Najib hambar, gagal ketengahkan tiga isu penting – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 30 NOVEMBER: Ucapan dasar Najib ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO ke-66 dianggap ‘kosong’ apabila beliau gagal mengetengahkan tiga isu penting yang harus diberi perhatian serius dan gagal mengetengahkan visi Malaysia.

Menurut Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, isu pertama ialah mengenai komitmen beliau membanteras rasuah dan menegakkan integriti dalam pentadbiran kerajaan dan UMNO sendiri yang banyak terpalit dengan skandal dan spekulasi membabitkan harta rakyat.

“Yang kedua, Najib harus membuktikan keikhlasannya terhadap konsep 1Malaysia yang dijaja beliau sendiri, termasuk mengetengahkan bahawa Ketuanan Rakyat Malaysia adalah yang utama dan bukannya Ketuanan Melayu yang dimomokkan UMNO,

“Tidak ada yang lebih kosong dan hampa di dalam ucapan dasar Najib daripada laungan “1Malaysia” pada permulaan ucapannya,” katanya.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, da yang terakhir Najib harus membuktikan sifat demokratik dan kesediaan pada objektif untuk menjadikan Malaysia “demokrasi terbaik dunia.

“Ini boleh dilakukan apabila UMNO sanggup menghormati hak pengundi memilih kerajaan yang mereka mahukan dan kerjasama peralihan kuasa yang aman kepada Pakatan Rakyat sekiranya dipilih rakyat pada PRU-13,” katanya.

Sambil merujuk ‘kempen’ menakut-nakutkan rakyat dengan memainkan isu 13 Mei, dan isu kehilangan kuasa politik Melayu oleh sebahaian pemimpin UMNO, Kit Siang menjelaskan bahawa ini adalah bukti UMNO menghadapi tekanan hebat memandangkan mereka tahu PRU ke-13 nanti mengisyaratkan penguasaan mereka di Putrajaya akan berakhir.

“Walhal, momokan dan pembohongan mereka boleh dinilai rakyat Malaysia yang rasional.

“Ini kerana yang akan kehilangan kuasa adalah UMNO-BN di mana yang akan menggantikan mereka ialah Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS dan DAP menerajui Kerajaan Persekutuan.

UMNO-BN sering berhujah menggunakan fakta dangkal mendakwa DAP parti cauvinis Cina yang akan menguasai Malaysia biarpun ia konsisten mendokong Perlembagaan Persekutuan.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, DAP hanya memenangi 28 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang ditandinginya di seluruh negara.-Roketkini.com