Berita

“Kalau boleh beri faedah kepada rakyat, potong lah”, kata Guan Eng

GEORGE TOWN, 2 DISEMBER: Kerelaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk memotong telinga sekiranya DAP menang di Bentong disifatkan sebagai tindakan yang kebudak-budakan.

Mengulas kenyataan kurang cerdik Adnan itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata ia adalah soal pilihanraya, bukan soal mahu tunjuk lagak sampai sanggup potong telinga.

Katanya, Adnan tidak perlu melakukan perkara kelakar itu kerana itu bukan tuntutan mana-mana pihak.

Bercakap dalam sebuah sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan bantuan pelajar ke IPTA di Komtar di sini semalam, beliau berkata, tidak ada sesiapa yang pernah menuntut Adnan untuk memotong telinga atau lompat ke sungai, kerana  yang dituntut ialah perubahan yang memberi faedah kepada rakyat.

“Kalau dia potong telinga dan lompat ke sungai, rakyat boleh dapat apa faedah? Kalau rakyat boleh dapat faedah; potonglah, ” ujar beliau, sambil menambah beliau tidak menyangka seorang Menteri Besar boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menambah bahawa kemenangan dalam pilihanraya bukanlah untuk memotong telinga, sebaliknya ntuk membawa perubahan kepada rakyat seperti yang sedang dilakukan di Pulau Pinang pada masa ini.

Semalam Menteri Besar Pahang dilaporkan berkata, “… DAP tidak boleh menang di Bentong. Tidak boleh menang. Jika DAP menang di Bentong, anda potong teliga saya, saya terjun Sungai Pahang. (DAP) tidak boleh menang.”

Namun hari ini Adnan dilaporkan sebagai berkata bahawa kenyataan ‘potong telinga’ tersebut hanyalah kiasan atas keyakinan beliau bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh menang di kawasannya. – Roketkini.com