Berita

Malaysia masih gagal banteras rasuah – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI) sepanjang tahun ini belum boleh dibanggakan malah kesal kerana Malaysia diletakkan pada kedudukan ke-54 daripada 60 negara paling kurang rasuah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini kerana jumlah negara yang dinilai dalam CPI oleh TI 2012 berkurangan daripada 183 negara tahun lalu kepada 176 negara tahun ini.

“TI juga menggunakan metodologi baru tahun ini, jadi mata CPI tahun ini juga tidak boleh dibandingkan dengan mata pada tahun lalu atau mana-mana penilaian sebelum ini.

“Perbandingan antara tahun hanya boleh dilakukan bermula 2012 sebagai asas untuk tahun-tahun berikutnya,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Lim Kit Siang, mengikut metodologi baru, mata CPI adalah pada skala 0-100 dengan 0=tanggapan rasuah tahap tertinggi dan 100=tanggapan rasuah tahap terendah berbanding mata 0 hingga 10 pada mata CPI sebelum ini.

Katanya, walaupun mata CPI Malaysia tahun ini adalah 49 daripada 100 tidak boleh dibandingkan dengan mata CPI sepanjang 17 tahun lalu iaitu antara 1995 dan 2011.

“Satu hakikat yang tidak boleh dielakkan adalah Malaysia gagal dalam usaha membanteras rasuah sepanjang dekad sebelumnya, yang menyaksikan kedudukan CPI Malaysia jatuh pada kedudukan terendah iaitu tempat ke-60 tahun lalu berbanding tempat ke-23 pada 1995, dan mata menjunam ke-4.3 tahun lalu berbanding 5.32 pada 1996,” ujarnya.

Kit Siang berkata, walaupun mata CPI TI 2012 tidak boleh dibanding dengan tahun sebelumnya, kedudukan dan mata Malaysia di peringkat antarabangsa jelas kurang daripada sederhana.

Katanya, sejak 1995 Malaysia diatasi oleh Korea Selatan dan Taiwan sementara banyak negara semakin dekat merapati terutamanya Turki yang berada pada kedudukan ke-29 dengan mata CPI 4.1 pada 1995, tetapi berjaya mengejar Malaysia apabila kedua-duanya berada pada kedudukan ke-54 dengan 49 mata pada CPI TI 2011.

“Memandangkan negara ASEAN, Asia-Pasifik, OIC dan Turki sudah menunjukkan kesungguhan politik untuk membanteras rasuah, Malaysia juga harus melakukan sesuatu termasuk bertindak bagi memastikan negara tidak ketinggalan daripada negara berkenaan,” katanya. Roketkini.com