Berita

Demi Malaysia: “Sedia berkorban untuk apa yang kita percaya” – Lim Guan Eng

GEORGE TOWN, 15 DISEMBER: Kesanggupan, keikhlasan dan kejujuran ahli parti untuk berkorban, menyumbang tenaga dan buah fikiran tanpa mengharapkan balasan adalah antara formula DAP semakin diterima rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Setiusaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pengorbanan itu adalah manifestasi keyakinan bahawa DAP mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik dan cemerlang.

Dalam Ucapan Dasar Kongres DAP Peringkat Kebangsaan ke-16 di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) hari ini, .

“Kita sedia berkorban untuk apa yang kita percaya, malah, ramai di antara kita teraniaya, dipenjara dan ditahan, termasuk saudara Teoh Beng Hock yang mati ketika berkhidmat untuk parti dan rakyat.” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 di Arena Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di hadapan lebih 2,576 perwakilan dan tetamu yang hadir dari seluruh negara.

Beliau berkata, disebabkan sikap dan semangat itu DAP dan parti oposisi lain seperti PAS dan PKR berjaya membentuk kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah dan mempertahankan Kelantan lebih 22 tahun lalu.

Beza antara DAP dan BN

Beliau juga Ketua Menteri Pulau Pinang sangat berbangga dan menghargai pengorbanan dan keikhlasan veteran parti, atas prinsip itu membuatkan DAP jauh berbeza dengan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, beliau juga kagum dengan sikap ahli parti kerana selama menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, tidak pernah ahli parti meminta diberi layanan istimewa atau diberi kontrak.

“Sama ada parti menang satu kerusi atau 100 kerusi, kita sentiasa bersedia untuk berjuang bagi memastikan rakyat biasa mendapat perkhidmatan yang lebih baik daripada kerajaan yang mereka pilih.” katanya.

Perjuangan penuh mehnah dan tribulasi

Mengimbas kembali suasana politik negara sebelum pilihan raya umum 2008, Lim Guan Eng berkata, DAP sentiasa tewas dengan propaganda jahat politik kaum dan agama yang dimainkan UMNO/BN.

“UMNO menyebar satu bentuk doktrin perkauman dan eksklusiviti agama melampau dengan pelbagai fitnah dan putar belit untuk menarik sokongan Melayu dan disokong MCA, MIC, SUPP dan Gerakan dalam meraih sokongan bukan Melayu. Dua kali lima sahaja.

“Sifat perkauman dan ekstremisme UMNO-BN adalah topeng, propaganda halus untuk menghalalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Bagaimanapun, sentimen perkauman dan agama berubah pada Pilihan Raya Umum 2008 apabila rakyat samada Melayu dan bukan Melayu sedar bahawa mereka ditipu dan dirompak.

Rakyat sedar penipuan BN

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan menyingkap sejarah bagaimana RM54 bilion saham Bumiputera yang diperuntukkan kerajaan ketika itu lesap.

“Tidak ada Melayu biasa yang memiliki satu bahagian pun, malah semuanya dimonopoli pemimpin UMNO. Sehingga kini hanya RM2 bilion saham Bumiputera kekal dan tiada siasatan dan perakaunan dilakukan terhadap kehilangan RM52 bilion itu.

“Rakyat bukan Melayu juga sedar bahawa mereka tidak berbuat apa-apa kecuali untuk memperkayakan diri sendiri dan jika mereka mahu mendapatkan perniagaan adalah lebih berkesan mendapatkan bantuan kroni UMNO.” katanya.

Justeru itu, Guan Eng meminta semua lebih 150,000 ahli DAP di seluruh negara bertindak menghalang segala perbuatan keji BN selama ini dan mencapai satu permulaan baru yang bermaruah untuk Malaysia serta terus berbakti kepada rakyat agar rejim korup UMNO-BN digantikan dengan pentadbiran bersih dan ikhlas pemimpin Pakatan Rakyat. – Roketkini.com