Berita

Kerjasama PAS dan DAP utuh, BN gagal atasi 3C – Datuk Mahfuz Omar

GEORGE TOWN, 17 DISEMBER: Pakatan Rakyat bersedia menggalas tanggungjawab dan mandat yang akan diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, DAP sudah menunjukkan komitmen yang tinggi kepada PR untuk berusaha yang bersungguh-sungguh bagi memastikan PR memenangi PRU-13 nanti.

“Kami sudah lama melalui proses dan pengalaman panjang sejak pemerintahan Perikatan dan kemudian Barisan Naisonal (BN) sehingga sekarang.” katanya ketika ditemui pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16, Sabtu lalu.

Menurutnya, kesediaan untuk mentadbir Malaysia ini berdasarkan kemampuan kerajaan negeri PR yang terbukti jauh lebih baik dan telus berbanding pentadbiran BN.

“BN membuktikan mereka tidak lagi mampu membawa Malaysia jauh lebih baik seperti yang dilakukan dunia luar, BN gagal mengatasi 3C (Corruption, Crime and Cost of Living ata rasuah jenayah dan kos sara hidup yang tinggi) yang merupakan masalah utama negara,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, ini adalah perkara yang sangat penting untuk dilihat kerana ia adalah ancaman kepada rakyat Malaysia.

Ditanya mengenai tahap kerjasama antara PAS dan DAP, beliau berkata, jalinan yang terjalin kini cukup baik walaupun timbul sedikit kekeliruan terhadap perkara kecil yang diperbesarkan.

“Semuanya ada penyelesaian. Dalam mana-mana organisasi pun itu satu perkara biasa, malah dalam perhubungan manusia itu sendiri, dalam rumah tangga misalnya pun kadang-kadang ada pergolakan, tetapi yang penting bagi saya ialah kebersamaan kita menuju ke satu matlamat.

“Kita nak bawa perubahan kepada masa depan Malaysia, untuk ubah Malaysia demi masa depan yang lebih baik kepada seluruh rakyat dan negara,” katanya – Roketkini.com