Berita

Sumbangan baucer buku, beg sekolah ringankan beban keluarga

PETALING JAYA, 28 DIS: Lebih 300 penduduk pelbagai kaum dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku hari ini menerima baucer buku bernilai RM50 dan sumbangan beg sekolah yang diadakan di Dewan Seri Setia, Sungai Way, sempena sesi persekolahan Januari 2013.

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, sumbangan itu adalah antara kejayaan dasar Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“Saya berharap ia dapat meringankan perbelanjaan persekolahan ibu bapa memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor mengucapkan selamat maju jaya kepada pelajar yang akan memasuki sesi persekolahan akan datang dan berharap agar mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tahun depan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pula berkata, sumbangan itu menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor adalah kerajaan yang prihatin terhadap masalah rakyat.

“Daripada bayi sehingga warga emas, semuanya mendapat manfaat daripada kerajaan negeri,” katanya dalam ucapan ringkas.

Penerima sumbangan, Puan Janaki, 42,  yang juga seorang operator mesin di sebuah kilang meluahkan rasa terima kasihnya kepada Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya orang susah, memang sangat gembira dapat tiga beg dan tiga vaucer buku untuk tiga anak saya,” ujarnya.

Manakala seorang warga emas yang bersama cucunya, Cheng Keam, 73 berkata, sumbangan itu dapat mengurangkan beban keluarganya memandangkan beliau sekarang sudah tidak lagi bekerja.

Puan Farah, 36, yang ditemui juga merakamkan ucapan terima kasih kerana terpilih untuk menerima sumbangan itu.

“Saya berharap tahun akan datang kerajaan Selangor juga dapat membuat program sebegini. Duit buku dan beg ini dapatlah mengurangkan perbelanjaan keluarga terutama yang menanggung anak ramai,” katanya.

Seorang suri rumah, Puan Ina, 38, pula berkata, beliau ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada wakil rakyat yang banyak membantu meringankan masalah rakyat.

“Saya sangat gembira tiga anak saya menerima sumbangan itu,” ujar beliau. – Roketkini.com