Berita

2013 perbaharui tekad tukar kerajaan

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Sambutan tahun baru 2013 kelmarin di Dataran Merdeka dimulakan dengan tafakur seramai 45 peserta mogok lapar “Anak Muda Menentang Projek Memudaratkan Alam Sekitar” dan diakhiri berbuka puasa dengan minuman dan dihadiahkan sejambak bunga.

Mogok lapar bermula sejak 27 Disember lalu bertujuan menuntut kerajaan membuat penilaian semula terhadap kewajaran pembukaan kilang nadir bumi Lynas, penggunaan bahan kimia sianida di Bukit Koman dan projek Pengerang serta semua projek yang merosakkan alam sekitar di seluruh negara.

Selain ratusan penyokong berpakaian hijau, turut hadir memberi sokongan moral kepada peserta ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Menurut jurucakap penganjur mogok lapar, Tan Woen Tian, beliau berharap acara sebegini memberi tekanan kepada kerajaan dan mahu Laporan Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEA) dikeluarkan segera untuk masyarakat umum.

“Kita juga mahu 2013 benar-benar tahun baru untuk semua rakyat dan demokrasi di Malaysia,” jelasnya.

Bagi seorang penganjur yang juga peserta, Vienna Looi, 22, berkata alam sekitar tidak boleh dibeli dengan wang dan peserta tidak bodoh mendera diri berpuasa selama 100 jam.

“Ia mengenai kecintaan terhadap alam sekitar, masyarakat, negara dan masa depan kita semua.

“Saya sangat kecewa kerana kerajaan sekarang tidak mendengar masalah rakyat. Kita perlu memilih kerajaan yang berkemampuan melakukan perubahan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Selain mogok lapar, Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) turut mengadakan kempen khas mereka sempena sambutan tahun baru.

Seorang peserta yang cuma mahu dikenali Saiful berkata, objektif utama kempen adalah untuk menyatakan azam mahasiswa menukar kerajaan pada pilihan raya umum nanti.

“Kami mahu kerajaan yang baru, kerajaan yang prihatin, tidak rasuah dan mendengar rintihan rakyat,” katanya.

Sekumpulan hampir seribu mahasiswa itu kemudiannya berkumpul beramai-ramai bersebelahan tempat peserta mogok lapar sambil melaungkan slogan mengutuk rasuah, salah guna kuasa dan kezaliman kerajaan BN. – Roketkini.com