Berita

DAP adalah seperti Robbie Fowler, bukan macam Suarez

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi diminta menarik balik atau meminta maaf kerana memfitnah bahawa DAP akan mencetak 100,000 naskah Bible dalam Bahasa Malaysia yang menggunakan kalimah “Allah”.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap ftinah Mohd Puad itu tidak masuk akal dan tidak berasas sama sekali jika gagal mengemukakan bukti.

Beliau berkata, DAP tidak pernah terbabit dalam hal ehwal agama kerana pendirian parti menganggap agama adalah hal peribadi dan tidak harus diperguna atau dipolitikkan.

Malah, tegasnya, DAP tidak mempunyai sumber kewangan atau keupayaan untuk mencetak dan mengedar 100,000 naskhah Bible Bahasa Malaysia.

“Malangnya, fitnah yang tidak masuk akal oleh pemimpin UMNO itu disiarkan dalam semua akhbar kawalan UMNO  iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Utusan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Puad ketika sidang media di Putrajaya dilaporkan berkata bahawa parti pembangkang (DAP) bercadang mencetak sekurang-kurangnya 100,00 naskhah Bible dan mengedarnya secara percuma di beberapa negeri, termasuk Kedah dan Kelantan.

Beliau berkata, di ambang pilihan raya umum ke-13, adakah UMNO akan terus fitnah yang tidak masuk akal terhadap DAP demi memenangi undi dengan mendakwa DAP sebenarnya yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan model Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu.

“DAP meluat dengan taktik UMNO yang bertujuan membangkit kebencian di kalangan masyarakat Islam dan agama lain terhadap DAP.

“Saya akan mengarahkan pemimpin DAP untuk membuat laporan polis terhadap Puad dan ketiga-tiga akhbar kawalan UMNO, esok kerana menyebarkan fitnah yang tidak masuk akal dan bertujuan menggugat ketenteraman awam. DAP juga akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Puad dan ketiga-tiga akhbar kawalan UMNO terbabit.

“DAP bukan parti yang tidak jujur dan bersikap “baling batu, sembunyi tangan”, seperti UMNO dan BN yang suka main kotor dan tidak mengaku kesilapan. Demi menegakkan kebenaran dan keadilan, DAP sanggup berkorban daripada menipu.

“Dalam konteks bola sepak, BN umpama pemain Liverpool Luis Suarez – seorang rasis, “penerjun” dan penipu, berbanding DAP yang sanggup mengakui kesilapan dengan rela hati tanpa tekanan seperti BN, sepertimana semangat “fair play” pemain Liverpool Robbie Fowler yang dulu pernah membantah apabila pengadil tersilap memberi penalti kepada Robbie dalam perlawanan menentang Arsenal,” ujarnya. – Roketkini.com