Berita

SAMM harap NGO pro-UMNO tidak cuba cetuskan huru-hara

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan berharap beberapa pertubuhan Melayu pro-UMNO tidak merancang untuk menyerang kumpulan rakyat yang hadir ke Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112, di Stadium Merdeka, Sabtu ini.

Penyelaras negeri SAMM Wilayah Persekutuan, Shariful Azmir Mustafa, berkata SAMM berharap pertubuhan seperti PEKIDA, PERKASA dan Pemuda UMNO menghormati perlembagaan dan usah cuba menghantar askar “samseng upahan” untuk mencetuskan huru-hara.

Katanya, ini kerana kebelakangan ini, SAMM di seluruh negara diganggu dengan ugutan dan ancaman menerusi SMS daripada beberapa NGO yang cuba menghalang dan melakukan provokasi agar perhimpunan itu bertukar menjadi pertumpahan darah.

Beliau berkata, jika cubaan itu dilakukan juga, membuktikan sikap sebenar rejim usang UMNO/BN tidak menghormati keluhuran Perlembagaan dan prinsip Rukun Negara.

“Saya berharap pihak terbabit tidak merancang untuk menyerang kumpulan rakyat yang hadir Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112, sebaliknya menghormati perlembagaan dan usah cuba melakukan provokasi.

“Sepatutnya kita teruskan dengan perbezaan fahaman politik dengan hujah dan idea yang bernas, bukannya menggunakan pendekatan politik rimba,” katanya dalam kenyataan media,  hari ini.

Shariful Azmir berkata, SAMM Wilayah juga meminta pihak polis supaya bersedia menahan  mereka yang terbabit cuba menimbulkan huru-hara, bukannya menahan demonstran yang berhimpun secara aman.

“Provokator rejim bacul UMNO-BN yang sering menimbulkan kekacauan dan cuba membuat onar serta huru-hara setiap kali rakyat bangkit meraikan demokrasi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, SAMM Wilayah mengalu-alukan kehadiran rakyat dari seluruh negara menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112, Sabtu ini sebagai perhimpunan yang menjadi medan manifestasi rakyat bangkit menolak penindasan hak dan perbagai bentuk salah guna kuasa yang dilakukan rejim pemerintah.

Beliau berkata, himpunan itu bertujuan memberi mesej jelas dan tajam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa rakyat sudah muak dengan pentadbiran UMNO/BN. – Roketkini.com