Berita

Masalah FGVH: Felda terpaksa beli semula saham sendiri?

KUALA LUMPUR, 10 JAN:  Tindakan Felda yang terpaksa membeli saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) daripada terus menjunam menggambarkan sikap “tidak pandai berniaga”, kata  Timbalan Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah.

Beliau berkata, kini pihak peneroka yang membeli saham tersebut menanggung risiko besar kerana terpaksa membuat pinjaman dari pihak bank untuk memiliki saham tersebut.

“Saya lihat ini sesuatu yang tidak profesional dan tidak sihat dalam perniagaan. Seolah-olah mereka tidak pandai berniaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, sebelum ini Pengerusi Felda Isa Samad pernah dipetik berkata bahawa  kejatuhan nilai saham FGVH mungkin disebabkan  kejatuhan harga kelapa sawit dunia dan serantau selain faktor pelabur dalam dan luar negara yang mahu mengaut keuntungan lalu mereka menjual sahamnya.

Alasan Isa adalah penurunan saham juga mungkin disebabkan oleh mereka terpaksa menjual saham kerana kebergantungan pinjaman daripada bank.

Saham FGVH menjadi kontroversi apabila pada September 2012, wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan untuk membeli juta sahamnya akibat kejatuhan menjunam.

Ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membatalkan keahlian Isa Samad dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF), Tengku Zulpuri berkata bahawa ia adalah tepat pada masanya.

“Dia adalah pengerusi Felda, dia juga nak jadi Pengerusi KPF, ini apa maknanya? Kita sangat setuju keputusan ini. Lagipun Isa Samad bukanlah bersih, beliau sendiri pernah disabit dengan kesalahan politik wang,” ujar beliau.

Keputusan mahkamah ini, tambah beliau, secara langsung akan membantutkan usaha Isa untuk menjadi pengerusi KPF seperti yang pernah dicadangkan sebelum ini, malah ahli koperasi sendiri tidak bersetuju dengan keahlian Isa dalam KPF.- Roketkini.com