Berita

DAP, PR tekad bela anak muda penuh ikhlas

KUALA LUMPUR, 13 JAN: “Tangan kanan memberi, tangan kiri mengambil balik. Tangan kanan bagi BR1M RM500, tangan kiri pula ambil gambar AES Kamera 1Malaysia.

“Kita nak hapuskan Kamera 1Malaysia ini jika PR berjaya mentadbir Malaysia. Apa guna bagi RM500 kalau jika ambil gambar dua kali? Kalau nak bagi, bagi dengan ikhlas. Lebih 50 tahun tak pernah  bagi, sekarang hampir nak mati baru nak bagi.”

Bantu rakyat dengan jujur dan ikhlas. Begitulah ikrar yang diucapkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di KL112 di sini semalam yang mahu membela rakyat sewajarnya sekaligus membidas sikap kerajaan BN yang diibarat memperolokkan rakyat dengan pelbagai habuan menjelang pilihanraya.

Menurutnya, sikap tidak jujur BN juga boleh dilihat dengan pemberian rebet Smartphone yang bernilai RM200.

“Mereka bagi rebet Smartphone RM200. Apa gunanya kalau tak sediakan wifi percuma? Ibarat macam dia bagi komputer tapi tak ada elektrik.

“Kita akan menyediakan kemudahan wifi percuma di kawasan-kawasan tumpuan ramai di seluruh negara sekiranya diberi peluang mentadbir Malaysia,” jelasnya.

Sebagai bukti, kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Guan Eng selaku Ketua Menteri telah pun melaksanakan penyediaan wi-fi percuma di tempat-tempat tumpuan umum di negeri itu.

Selangor yang ditadbir oleh PR juga menyediakan kemudahan wifi di kawasan bandar dan usaha akan diperluaskan lagi ke kawasan-kawasan luar bandar.

Menurut Guan Eng, anak-anak muda perlu memberi kepercayaan kepada PR kerana kerajaan PR komited bukan sahaja memberi keadilan kepada semua malah memberi kemudahan dan perkhidmatan terbaik bagi golongan itu.

Bukan sekadar itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan tegas menyatakan PR akan menghentikan semua projek-projek yang mencemarkan alam sekitar seperti Lynas, Bukit Koman dan sebagainya.

“Tumbangkan BN dalam pilihanraya. Baru kita boleh pastikan Lynas ditutup, baru kita boleh pastikan Selangor ada air, baru kita boleh pastikan Malaysia hidup dengan bersih, berwibawa dan pastikan orang miskin mendapat pembelaan sewajarnya,” ujarnya.

Untuk mencapai hasrat itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama golongan muda memberi peluang kepada PR dan tidak termakan dengan habuan BN yang bersifat sementara.

“Jangan termakan habuan dan penipuan BN. Dia ingat dia boleh beli undi rakyat Malaysia. Kita bukan bodoh,” tegasnya. – Roketkini.com