Berita

Penggantungan pakar ekonomi Bank Islam: BN makin tenat

GEORGE TOWN, 15 JAN: Penggantungan pakar ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Azrul Azwar Ahmad Tajudin lantaran ramalannya bahawa Pakatan Rakyat akan menang dalam pilihanraya akan datang memperlihatkan Barisan Nasional seolah-olah si sakit yang tidak mahu mengakui ia sedang tenat.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, Azrul hanyalah sekadar menyatakan unjuran profesional beliau dalam sebuah forum di Singapura minggu lalu.

Katanya Azrul dilaporkan akhbar The Straits Times Singapura telah menjangkakan kemenangan tipis Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum yang bakal menjelang sebagai berkemungkinan tinggi berbanding tiga senario lain.

“Saya juga berada di forum tersebut. Saya menghadiri Regional Outlook Forum 2013 yang dianjurkan oleh Institure of Southeast Asian Studies (ISEAS) pada hari Khamis 10 Januari 2013 ketika Azrul membentangkan analisanya.

“Azrul membincangkan tiga senario kemungkinan, iaitu kemenangan tipis Barisan Nasional, kemenangan tipis Pakatan Rakyat serta kemenangan besar Pakatan Rakyat,” ujar beliau.

Chin Tong menyatakan bahawa dalam forum tahunan antarabangsa itu yang membincangkan trend ekonomi dan politik, para penyampai memang diharapkan untuk melakukan apa yang telah dibuat oleh Azrul – untuk membentangkan beberapa senario untuk tahun akan datang dan membuat ramalan.

Namun amat memeranjatkan selepas portal berita The Malaysian Insider mengesahkan spekulasi bahawa Bank Islam telah menggantung perkhidmatan Azrul yang merupakan Pakar Ekonominya disebabkan analisa yang dibentang itu.

“Malaysia sekali lagi menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa apabila penganalisa kehilangan kerjanya kerana membuat ramalan pilihanraya.

“Adakah Barisan Nasional seakan seorang pesakit yang tidak mahu sedar akan penyakitnya dan mudah takut dengan sebarang cadangan tentang ajalnya yang kian hampir?” kata Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera. – Roketkini.com