Berita

Polis diminta bertindak terhadap pengedar risalah ugutan bakar bible – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi diminta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab mengedar risalah berbentuk ugutan untuk membakar kitab Injil yang tersebar di negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu surat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), berharap agensi penguatkuasa itu menghalang rancangan yang akan diadakan di Padang Bandaran Bagan Luar, Butterworth, 27 Januari ini.

“Saya ingin memohon jasa baik dan kerjasama Datuk Abd Rahim untuk mengambil tindakan sewajarnya, menghalang perbuatan itu daripada berlaku,” katanya.

“Saya berharap agar kawalan diketatkan ketika itu bagi menjaga keselamatan dan keharmonian kawasan itu,” tambahnya.

Ugutan membakar Injil itu disuarakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Melayu pro-kerajaan Barisan Nasional, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) pada satu konvensyen di Pulau Pinang minggu lalu.

Dalam laporan media ketika konvensyen itu, Pengerusi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mencadangkan supaya naskhah Injil dibakar untuk menghentikan tindakan menghina sensitiviti orang Islam.

Bagaimanapun sejurus ugutan itu dipertikaikan dan dituduh cuba menimbulkan sentimen kebencian antara agama, Perkasa mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan kenyataan itu disalahtafsir kerana kitab Injil yang dimaksudkan adalah dalam bahasa Melayu.

Kenyataan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu mengundang pelbagai kritikan daripada Pakatan Rakyat (PR), NGO dan pengamal undang-undang.

Malahan, Pengerusi DAP, Karpal Singh juga membuat satu laporan polis ke atas Ibrahim semalam bagi menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengambil tindakan ke atas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas itu. – Roketkini.com