Berita

Tanah runtuh: PBT digesa pantau pemaju, projek

BUKIT GASING, 31 JAN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta bertindak segera menangani insiden tanah runtuh yang berlaku sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya demi keselamatan awam termasuk memantau projek pembangunan di lereng bukit.

Ia berikutan insiden tanah runtuh seperti aduan penduduk Kampung Pasir mengenai projek pembinaan 68 unit banglo oleh Amona Development Sdn Bhd di lereng Bukit Gasing, Kampung Pantai Dalam, tahun lalu.

Insiden tanah runtuh dan banjir lumpur itu berlaku di Kampung Pasir dan Institut Pengajian Bahasa di Lembah Pantai dan Pantai Hillpark.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, pihak berkuasa juga perlu menghentikan sebarang kelulusan pembangunan di kawasan Bukit Gasing yang berada dalam kawasan Petaling Jaya.

“Sebelum ini penduduk juga pernah meminta diwujudkan pasukan khas (response team) bagi memantau setiap perkembangan yang berlaku di kawasan Bukit Gasing.

“Kami sudah menghantar surat kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan NGO Save Bukit Gasing untuk menubuhkan pasukan khas memantau kawasan sekitar Bukit Gasing setiap hari terutama pada hari hujan,” katanya pada sidang media bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai di hadapan pintu masuk ke tapak projek yang dimajukan oleh Gasing Meridian Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sebelum itu menggesa DBKL dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) segera menubuhkan gabungan pasukan khas dengan pentadbir Petaling Jaya dan kerajaan Selangor bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Adakah kita perlu menunggu runtuhan dahsyat baru mahu bertindak,” tegasnya.

Naib Pengerusi PKR itu berkata, pihaknya bukan mendesak agar DBKL membatalkan projek itu tetapi mahu mereka memantau dan bertindak terhadap pemaju yang tidak membaik pulih kerosakan lain yang berlaku.

“Dalam pelaksanaan projek itu, DBKL terbabit dengan pembangunan meliputi Bukit Gasing dan kawasan sekeliling.

“Kejadian tanah runtuh pula berlaku di kawasan bawah pengawasan DBKL yang sepatutnya memantau semua projek dalam kawasannya,” katanya.

Hadir sama pada sidang media ini ialah Pembantu Khas DUN Bukit Gasing, Kasthuri Patto, wakil penduduk dan NGO Save Bukit Gasing, Gary Yeoh dan Pengurus Projek Gasing Meridian Sdn Bhd, Kenneth Tan. –Roketkini.com