Berita

MIC sudah hilang upaya, bergantung kepada PM tarik undi masyarakat India

IPOH, 14 FEB: Masyarakat India negara ini perlu berani menolak Barisan Nasional (BN) dan MIC pada pilihan raya umum tidak lama lagi seperti yang pernah mereka dilakukan pada Tsunami 2008 kerana keupayaan BN dan MIC kini diragui dan apa yang dilakukan semata-mata umpan untuk mendapat undi.

“BN dan MIC tidak lagi boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan masyarakat India negara ini,” kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kula Segaran.

Katanya, MIC sering mendakwa mereka wakil dan berjuang untuk masyarakat India di Malaysia. Namun, apa yang kita lihat masih ramai masyarakat India yang ketinggalan dan hidup menderita.

“Selepas tewas teruk pada Pilihan Raya Umum 2008, MIC tetap gagal membuktikan mereka berjuang untuk masyarakat India negara ini,” jelas beliau dalam satu ceramah di kuil Mariamam Tanjung Rambutan.

Lebih memalukan ujar Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, kini MIC dilihat bergantung kepada Datuk Seri Najib Razak untuk meraih sokongan masyarakat India.

“Adalah sesuatu yang memalukan MIC yang sepatutnya berjuang untuk masyarakat India akhirnya terpaksa bergantung kepada Perdana Menteri,” katanya.

Menyifatkan ia adalah satu perkara yang tidak boleh diterima, Kulasegaran berkata, MIC tidak lagi mampu memperjuangkan matlamat mereka ditambah gejala rasuah di dalam BN yang menyebabkan timbul banyak masalah dan karenah birokrasi.

“Walaupun Najib melakukan beberapa langkah, ia masih bersifat sementara dan tidak menyeluruh seperti bantuan segera BR1M dan sebagainya.

“Banyak lagi masalah serius masyarakat India yang perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan seperti peluang pekerjaan, pendidikan, jenayah, bunuh diri dan sebagainya,” katanya.

Justeru itu, Kulasegaran berharap agar masyarakat India negara ini tidak termakan umpan yang diberikan BN terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

“DAP terbukti memperjuangkan keadilan untuk semua kaum. Kami mempunyai rekod yang cemerlang di Pulau Pinang dan Selangor,” ujarnya. -Roketkini.com