Berita

Kerajaan BN “autoritarian”, Najib seorang “demokrat palsu”

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Tidak cukup dengan pengkhianat dalam penipuan  “kewarganegaraan untuk undi” di Sabah dalam Projek IC dan menuduh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman memberi sejuta kewarganegaraan kepada bukan Melayu yang “tidak layak”, kini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad minta Barisan Nasional (BN) diberi majoriti dua pertiga supaya boleh melucutkan Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga kerana kempen patriotik untuk pilihan raya bersih, bebas dan adil.

Ketua Parlimen DAP,  Lim Kit Siang berkata, tindakan Dr Mahathir itu seolah tidak cukup kerosakan yang dilakukan selama 22 tahun memerintah negara sehingga mahu melakukan perkara yang lebih buruk itu.

Katanya, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), rakyat Malaysia melihat sesuatu yang seperti sebuah ungkapan Yunani yang menyebut, “Sesiapa yang tuhan mahu hancurkan mereka akan dijadikan gila terlebih dahulu”.

“Bukti terbaru yang menggambarkan ungkapan Yunani itu adalah penahanan dan pengusiran 15 jam Senator Australia, melengkapkan pengesahan dalam negara dan antarabangsa bahawa kerajaan Malaysia yang diperintah BN adalah “autoritarian” dan Najib seorang “demokrat palsu”.

“Dakwaan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad bahawa Xenophon berada di dalam “senarai hitam” Imigresen kerana mencemarkan imej negara dengan menggelar kerajaan Malaysia “autoritarian” dalam mengurus perhimpunan Bersih 3.0 April lalu, adalah amat kebudak-budakan, kerana jika alasan itu, rakyat Malaysia tentu menjadi persona non grata di banyak negara yang mereka kritik dan Tun Mahathir berada disenarai teratas rakyat Malaysia yang tidak boleh melawat banyak negara Barat,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 53 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, tetapi apa yang paling melampau adalah sokongan yang boleh dipertikaikan dan amat dikesali dengan penahanan dan pengusiran Xenophon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengatakan tidak adil untuk menghakimi keadilan PRU-13 berdasarkan pengusiran Xenophon.

Menurutnya, selain menonjolkan kurangnya kebebasan dan tidak berat sebelah, SPR tidak mungkin lebih salah daripada itu.

“Pengusiran Xenophon yang tidak demokratik dan bersifat “autoritarian” kini meletakkan intergriti proses pilihan raya, sama ada PRU-13 akan  bebas, adil dan bersih di bawah perhatian antarabangsa.

“Seluruh dunia sekarang bertanya, apa yang mahu disembunyikan SPR dan kerajaan UMNO/BN hingga begitu takut kepada pemerhati bebas PRU-13 dari luar negara sehingga sanggup menimbulkan ketegangan hubungan luar dan kutukan antarabangsa serta kecaman terhadap penahanan dan pengusiran Xenophon,” katanya.

Kit Siang berkata, dunia juga menanti dan melihat sama ada Najib benar-benar “demokrat palsu” seperti yang digambarkan oleh Mark Mackinnon, wartawan Canadian The Globe dan Mail di dalam artikelnya bertarikh 8 Jun 2012, terutamanya merujuk kepada takrifan “demokrat palsu” beliau adalah seseorang yang “mengadakan pilihan raya tetapi tidak mempunyai niat untuk melepaskan kuasa” dan seseorang yang “musuh politiknya dipenjara dan parti mereka diharamkan melalui hal teknikal perundangan”.

Menurutnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam mengatakan DAP belum menghantar keputusan pemilihan parti dalam tempoh 60 hari seperti yang diminta undang-undang dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan boleh mula menyiasat DAP.

“Semalam, saya telah twit dan bertanya: “Apa yang akan Hishamuddin lakukan sebagai Menteri Dalam Negeri sekiranya DAP buktikan bahawa parti itu sudah menghantar keputusan pemilihan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebelum Tahun Baru Cina.

“Mungkin Hishammuddin dan Najib benar-benar mahu mengharamkan DAP kerana mereka terdesak mengenangkan peluang UMNO/BN dalam PRU-13, meskipun cakap besar bahawa mereka mampu menang besar pada pilihan raya yang bebas dan adil, malah mendapatkan semula majoriti dua pertiga di Parlimen dan merampas kembali negeri yang diperintah Pakatan Rakyat seperti Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan,” katanya. – Roketkini.com