Berita

PRU-13 kritikal buat Najib, lebih kritikal bagi Mahathir

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dianggap pilihan raya amat penting dan kritikal buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana ia bukan saja pungutan suara empat tahun “tanpa transformasi”.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, PRU-13 itu juga lebih penting dan kritikal lagi bagi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana 22 tahun dasar autoritarian dan korup beliau.

Katanya, masa depan Mahathir juga dipertaruhkan pada PRU-13  bagi menentukan sama ada beliau dapat terus menjadi dalang politik untuk UMNO/BN, yang kini secara sendirian membuat keputusan selepas berjaya memaksa Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas “tsunami politik” pada PRU 2008.

“Kuasa dan pengaruh Mahathir sebagai Perdana Menteri paling lama kini lebih besar berbanding Najib yang berkempen ke seluruh negara untuk menjaga jangka hayat politiknya,

“Sepanjang 56 tahun Malaysia mempunyai enam Perdana Menteri tetapi tidak ada pemimpin di dalam UMNO/BN kecuali Mahathir yang berani memberitahu mana-mana Perdana Menteri supaya meletakkan jawatan sekiranya gagal memperoleh mandat lebih besar dalam pilihan raya umum.

“Mahathir juga secara terbuka dalam Malaysia Strategic Outlook Conference ke-15 pada 31 Januari lalu mengatakan Najib sepatutnya memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya BN memperoleh kemenangan tipis pada PRU13 nanti,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 52 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib sekarang di bawah pemerhatian Mahathir  “guru besar” yang akan menentukan masa depannya, sebagaimana  Mahathir menamatkan penggal pemerintahan Tun Abdullah, yang gagal mencapai matlamatnya

Beliau berkata, hampir setiap hari, Mahathir bukan sahaja mengatasi kempen Najib tetapi turut menetapkan dasar untuk Najib dan pemimpin serta Menteri UMNO/BN seperti yang dapat dilihat di dalam contoh berikut sejak sepuluh hari lalu:

  • Dr M: Peneroka jangan ‘gigit tangan’ kerajaan (Mkini) – 18.2.13
  • Dr M: Tidak perlu mengendahkan celaan Canberra atas pengusiran Xenophon (TMI)  – 18.2.13
  • Dr M: Kebebasan tidak terkawal media alternatif berbahaya (Bernama) -18.2.13
  • Dr M: Hanya beberapa pelampau Cina menyokong perubahan Kerajaan (China Press) – 15.2.13
  • Dr Mahathir: Hutang negara masih pada tahap baik (Bernama) – 15.2.13
  • Tingkat imej Proton, idea teras pelan pemulihan: Dr M (Bernama) – 15.2.13
  • Jangan terlalu taksub tukar kerajaan, kata Mahathir (Bernama) – 13.2.13
  • Dr M: Pinda perlembagaan untuk melucutkan kewarganegaraan Ambiga (Mkini) – 9.2.13

Menurutnya, Mahathir juga cuba menyelamatkan Najib daripada kemusnahan “Tiga Ya untuk Psy, Tiga Tidak untuk BN” ketika di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pulau Pinang selepas membelanjakan RM3.5 juta untuk mengimport bintang K-Pop Korea Psy dan “Gangnam Style”, mendakwa itu semua daripada “video yang diubahsuai” di YouTube.

“Mahathir mungkin menyangka rakyat Malaysia generasi 2013 mudah tertipu seperti rakyat Malaysia ketika 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri iaitu daripada 1981 hingga 2003 sayangnya beliau silap.

“Rakyat Malaysia perlu berterima kasih pada Najib kerana menjemput Psy dan Gangnam Style ke Pulau Pinang, kerana mampu membuatkan rakyat Malaysia fokus kepada satu soalan mengapa Korea Selatan membangun begitu hebat berbanding Malaysia,” katanya.

Pada 1980, setahun sebelum Mahathir menjadi Perdana Menteri, Malaysia mendahului dengan KDNK per kapita US$1,769 berbanding Korea Selatan US$1,689 .

Bagaimanapun mulai 1981, ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri, Malaysia jatuh begitu teruk di belakang Korea Selatan, sehingga KDNK per kapita Malaysia hanya satu pertiga berbanding Korea Selatan selepas meletakkan jawatan pada 2003

Berikut adalah data perbandingan KDNK per kapita untuk kedua-dua negara sepanjang 22 tahun Mahathir menjadi Perdana Menteri:

Kit Siang berkata, Mahathir perlu bertanggungjawab dan menjelaskan kepada rakyat kerana mengakibatkan Malaysia kalah teruk kepada Korea Selatan sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri. -Roketkini.com