Rencana

Hari Keadilan Sosial Sedunia. Oleh: Muhammad Nazreen

TANGGAL 20 Februari setiap tahun, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bersama-sama dalam pakatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan tarikh bersejarah 20 Februari sebagai hari peringatan ‘Keadilan Sosial’ sedunia.

Acara ini tidaklah fenomenal sepertimana tarikh 14 Februari yang disambut meriah demi peringatan kepada Hari Kekasih. Tetapi, peristiwa bersejarah ini punyai lembaran yang penuh dengan iktibar. Bersesuaian dengan julukan mesej Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon pada tahun 2013 yang menyeru ke arah usaha pembangunan ekonomi secara inklusif, mapan dan berseiring.

Berikutan itu, Deklarasi Copenhagen 1995 dilancarkan pada Mac 1995 demi mengiktiraf sebarang usaha dilakukan badan-badan berkanun, termasuklah kerajaan-kerajaan.  Deklarasi ini berjaya mencapai konsensus untuk menyeragamkan tuntutan meletakkan warga dunia sebagai pusat perkembangan sejagat. Inisiatif terbesar yang didokongi PBB ini juga bermatlamat untuk mendapatkan persetujuan pemimpin-pemimpin dunia supaya berpadu tenaga ke arah penghapusan kemiskinan, pertambahan peluang pekerjaan  dan penambahbaikan intergrasi sosial. Dalam kata yang lainnya, upaya memperuntukkan peluang sama rata kepada setiap manusia menimbal ruang untuk maju ke hadapan seiring dengan kemajuan ekonomi secara global.

Arus globalisasi yang menderas, ditambah pula dengan naik-turun ekonomi dunia yang masih di dalam tempoh pemulihan mengakibatkan warga dunia ditimpa kemelaratan hidup. Laporan World Development Indicator 2012 yang diselaras Bank Dunia mendapati warga dunia yang hidup di bawah perbelanjaan US $ 1.25 sehari berjumlah hampir 22.2%. Indeks yang sama menunjukkan hampir 3 bilion manusia di muka bumi ini hidup dalam keadaan kemiskinan yang sangat ekstrem. Menjelang 2030, sasaran untuk mengurangkan tahap kemiskinan tegar sebanyak 50% merupakan usaha murni yang patut dikerjakan. Sempena menyahut peringatan 20 Februari selaku hari ‘Keadilan Sosial’ sejagat, setiap daripada kita harus menggerakkan kempen kesedaran melawan kemiskinan.

Peninju lagenda, Muhammad Ali pernah berkata, “wars on nation are to change map, wars on poverty are to map change.” Bahana kemiskinan yang meluas menyebabkan mobiliti sosial masyarakat terperangkap dalam kitaran ganas, akhirnya mengakibatkan kadar pertumbuhan ekonomi berada pada tahap yang membimbangkan. Selaras dengan cita global, pemupukan masyarakat adalah tanggungjawab yang mendasar buat semua orang. Agenda keadilan sosial tak harus bersebaran di kelompok pimpinan sahaja. Setiap daripada kita perlu menggerakkan enjin keupayaan untuk sama-sama terlibat dalam gerakan sebegini.

Tugas membasmi kemiskinan bukanlah tugas mutlak ahli politik. Bagian daripada masyarakat perlu memberatkan diri untuk bertungkus-lumus demi memastikan kadar kemiskinan dapat dibataskan dari hari ke hari. Bahu masyarakat dan komuniti tempatan adalah salingan buat dasar kerajaan yang lebih mendasar. Kerajaan, samada pusat mahupun negeri merupakan entiti utama yang diamanahkan untuk berganding bahu memikirkan prospek keadilan sosial yang bakal digalas. Jadi, tugas kerajaan bukanlah bermati-matian menyelamatkan mana-mana parti pemerintah, mendayungi kempen-kempen propaganda politik untuk terus berkuasa apatah lagi, di dalam memastikan kemenangan politikus tertentu di dalam pilihanraya.

Sebelum membedah jauh pemahaman kita mengenai keadilan sosial, penekanan harus diberatkan dengan falsafah di sebalik keadilan sosial itu sendiri. Maksud harfiah tentang keadilan sosial itu sendiri menjelaskan tawassulnya, iaitu keadilan. Perdebatan mengelilingi keadilan masih lagi berterusan dan belum kunjung selesai. Jadi, usahlah kita terperangkap dengan perbincangan istilah semata-mata.
Sebaiknya, kita bersama-sama mendalami pemahaman substantif yang jamak dan rencam.  Begini, konsep ‘keadilan sosial’ lebih mudah diamati sebagai peluang yang sama rata diberikan kepada setiap lapisan masyarakat tanpa pula mengira status sosial, agama, jantina dan afiliasi politik mereka. Setiap manusia berhak menerima dorongan dan bantuan apabila mereka memerlukannya. Amartya Sen, pemikir terkenal menerusi bukunya yang terjual laris di seluruh dunia, “The Idea of Justice” meletakkan empat bahagian asas kerangka keadilan.

Pertama, permintaan ke arah keadilan. Sen menjelaskan dalam juzuk pertama bagaimana keadilan dapat diukur daripada konteks individu, sosial, institusi dan pilihan. Analisa tajam terhadap konteks tersebut merungkai keperluan mutakhir tentang wacana keadilan. Jadi, Sen menegaskan bahawa latar keadilan yang paling utama bertujuan untuk mengeratkan kebarangkalian manusia untuk maju. Bahagian kedua, Sen melihat bagaimana bentuk-bentuk penalaran penting untuk mendekatkan nilai keadilan supaya tertegak. Di dalam bahagian ini, Sen mengutarakan kutipan pandangan ahli falsafah terkemuka dan rasional di sebalik penegakan keadilan. Dalam tajuk yang sama, Sen membedah beberapa kemungkinan sekiranya keadilan tidak ditegakkan seperti kekacauan sosial, keadaan huru-hara dan sebagainya.

Lanjut, Sen di dalam bahagian ketiga memaparkan beberapa asas bagaimana keadilan dapat ditegakkan. Penekanan penting yang diberikan oleh Sen di dalam bab ini adalah tentang keperluan sosial untuk mengatasi masalah ketidakadilan. Penyakit kemiskinan tanpa penyelesaian ditanggapi sebagai akar kepada ketidakadilan yang berlaku. Jadi, bab ketiga melihatkan analisa Sen yang cenderung ke arah pembasmian kemiskinan secara massa – supaya keadilan sosial dapat ditegakkan.Keempat, kesedaran awam ke arah pengetahuan demokrasi atau pemerkasaan ruang awam terhadap pengukuhan demokrasi merupakan benang utama tertegaknya nilai keadilan.
Sekali lagi, Sen memberikan fokus utama terhadap perkembangan hak asasi di dalam memelihara medan keadilan. Hak asasi yang meliputi udara, air, tempat tinggal, keperluan ekonomi dan banyak lagi merupakan tunjang penting yang merukuni keadilan dalam lensa sejagat, nasional dan tempatan. Rumusan yang dikutip di dalam ‘The Idea of Justice’ menunjukkan indikator sosial seperti gelonjak kemiskinan, hak samarata dalam pembahagian kekayaan begitu meruncing dalam memastikan falsafah keadilan boleh dimanfaatkan.

Falsafah keadilan sosial, jika diperhatikan dari sudut politik dan dasar, tidak jauh beza dengan apa yang DAP perjuangkan saban tahun. Malah, agenda Buku Jingga yang menjadi tunggangan utama Pakatan Rakyat menjelaskan garis panduan ekonomi ke arah merealisasikan keadilan sosial. Dasar kebajikan rakyat yang ditekankan sebenarnya menepati kehendak dan tuntutan ke arah keadilan sosial. Teras utama yang didokongi Buku Jingga, seperti merencanakan pembahagian ekuiti yang adil tanpa mengira kaum antara lain menyebutkan keperluan untuk membantu golongan yang terpinggir mendapat agihan kekayaan yang sama rata.

Demokrasi ekonomi yang ditunjangi DAP sama sekali bertepatan dengan keperluan menjana keadilan sosial buat semua. Peluang ekonomi samarata seperti Dasar Tender Terbuka dan prinsip C.A.T (Cekap, Akauntabel, Telus) yang diperkenalkan kerajaan negeri Pulau Pinang telah membuktikan bagaimana prinsip keadilan ekonomi dapat dijalankan dengan saksama.

Tambahan pula, semenjak DAP berjaya mentadbir Pulau Pinang, kerajaan negeri Pulau Pinang berjaya memperuntukkan agenda keadilan sosial sekaligus kekal sebagai negeri yang berjaya mengekalkan surplus dalam belanjawan negeri. Jadi, ini merumuskan bahawa prinsip keadilan sosial bukanlah halangan untuk memperkukuhkan keadaan ekonomi, tetapi memperkayakan lagi aktiviti ekonomi dengan memberikan peluang yang saksama kepada semua untuk menjalankan aktiviti ekonomi yang sihat dan kompetitif.
Seruan memperingati tarikh 20 Februari, sempena Hari Keadilan Sosial Sedunia wajar dijadikan motivasi untuk setiap anggota masyarakat saling bekerjasama ke arah pembangunan ekonomi yang mapan, di samping menjana aktiviti kebajikan kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang dengan berkesan.

20 Februari juga ialah tarikh ulang tahun kelahiran Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Selamat ulang tahun diucapkan kepada beliau. – Roketkini.com