Berita

Pengundi didaftar tanpa pengetahuan berleluasa – Fauziah

PETALING JAYA, 20 FEB: Peningkatan mendadak pengundi baru di seluruh negara dianggap sesuatu yang ganjil dan lebih pelik apabila pengundi itu didaftar tanpa pengetahuan mereka.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fauziah Salleh berkata, beliau hampir setiap hari bertemu dengan pengundi yang didaftar tanpa pengetahuan mereka.

Katanya, perkara itu juga didedahkan melalui laporan akhbar utama minggu lalu, namun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang luar biasa.

“SPR sebaliknya mengatakan walaupun ramai pengundi baru didaftarkan, masih ramai mereka yang layak yang belum mendaftar sebagai pengundi.

“Saya menganggap mendaftarkan pengundi tanpa pengetahuan mereka jelas menunjukkan unsur kesalahan jenayah dan melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Fauziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, berdasarkan aduan yang diterima, pihaknya mempunyai cukup bukti untuk mengheret penolong pendaftar dan SPR ke mahkamah sekiranya didapati sah kedua-dua pihak itu bersekongkol untuk mendaftar pengundi tanpa pengetahuan.

Justeru itu, Fuziah menyarankan mereka yang didaftarkan tanpa pengetahuan mengambil beberapa langkah dengan pergi ke Pejabat SPR berdekatan dan membuat cabutan bagi borang permohonan mereka.

“Jika anda tidak mendapat kerjasama daripada SPR, sila laporkan kepada kami. Setelah mendapat borang cabutan. Sila buat laporan polis terhadap pendaftar yang melakukan kesalahan itu.

“Kemudian, serah satu salinan borang cabutan dan laporan polis kepada kami. Kami akan melantik satu majlis peguam untuk meneliti kes ini,” ujarnya selepas majlis pelancaran Institut Rakyat, sebuah badan pembentuk dasar di Ibu Pejabat PKR,.

Pada 3 Februari lalu, negara digemparkan dengan pendedahan ‘ajaib’ Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy di mana anak beliau Sri Vaitheki, 25, yang belum mendaftar didaftar sebagai seorang pengundi tanpa pengetahuan pemilih.

 

Kejadian luar biasa itu menunjukkan SPR tidak peduli kepada desakan rakyat membersihkan daftar pemilih Malaysia sekaligus membuktikan seolah-olah wujud ‘kerjasama baik’ antara agensi awam itu dengan BN. – Roketkini.com